KEKELIRUAN GOLONGAN ISLAM "LIBERAL" CETUS GANGGUAN AKIDAH DAN KETENTERAMAN MASYARAKAT ISLAM

 

Golongan fahaman Islam liberal semakin rancak menjaja dan mencanang gagasan pemikiran liberal mereka dengan berselindung di sebalik tuntutan kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka ini meletakkan akal pada tempat yang paling tinggi melebihi syariat Islam sehinggakan kewujudan gerakan pemikiran liberal ini menganggu-gugat keharmonian dan kesucian agama Islam dan penganutnya sendiri.

Walaupun secara mata kasar golongan Islam liberal ini tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, namun hakikatnya mereka berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula hadis Nabi Muhammad SAW dan menapis semula hukum-hakam syariat Islam dan fiqah. Mereka juga menolak segala tafsiran daripada Rasulullah SAW, para sahabat serta ulama mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah dipadankan dengan realiti semasa agar dapat disesuaikan dengan kemodenan hari ini sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam yang telah sabit.

Perkara tersebut menjelaskan kekeliruan dan fahaman yang ditimbulkan oleh mereka. Justeru itu, golongan berfahaman Islam liberal ini terlalu berbahaya kepada umat Islam dan kesucian agama Islam. Isu-isu yang diperjuangkan golongan Islam liberal ini juga semuanya bersifat ekstrem dan bertentangan sama sekali dengan syariat Islam yang akhirnya bukan sahaja boleh mencetuskan gangguan ketenteraman serta memecahkan perpaduan dalam masyarakat, malah merosakkan akidah umat Islam. Renung-renungkan.

Sumber: Jurnal Ummah 2


Comments