KERJA ITU ADALAH SATU IBADAH LAKSANAKAN AMANAH YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN DENGAN SEIKHLAS HATI


Walaupun 1 Mei baru sahaja berlalu, namun untuk meraikan hari Istimewa buat para pekerja di seluruh Malaysia itu boleh dilakukan pada bila – bila masa sebagai satu penghargaan. Selama ini, kita selalu dengar pendakwah hatta masyarakat di sekeliling selalu menyatakan bahawa kerja itu adalah satu ibadah. Hakikatnya, memang benar pernyataan itu. Islam memandang pekerjaan juga satu ibadah. Malah, skop ibadah sebenarnya lebih luas.

Ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual semata-mata seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya (ibadah khusus), malah ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezeki, sehinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara. Kerja pula merupakan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu perkara bagi mendapatkan upah atau ganjaran. Setiap pergerakan kita dalam bentuk khidmat kepada alam ini yang diniatkan kerana Allah SWT akan menjadi ibadah.

Bukan (sahaja khidmat) kepada manusia saja, hatta kepada binatang, alam semula jadi, hutan, sungai dan laut (pun turut dikira sebagai ibadah). Pendek kata, apa sahaja pergerakan kita untuk khidmat kepada alam ini dan diniatkan pada khidmat itu untuk Allah SWT, maka ia akan jadi ibadah. Sabda Rasulullah SAW:

“Bersemangatlah kamu melakukan hal yang bermanfaat untuk kamu dan minta tolonglah kepada Allah, serta janganlah engkau lemah (malas).” (HR Muslim).

Bagi yang menyedari hakikat ini, bahawa bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat sahaja malah ia merupakan amanah Allah SWT. Seseorang yang amanah dalam pekerjaannya akan menepati waktu, melaksanakan bidang tugasnya dengan sebaik mungkin serta tidak malas menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya.

Maka dari itu, kita haruslah mengikhlaskan niat ketika bekerja, bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan, bersifat jujur dan amanah dalam tugasan, serta tidak mengabaikan tanggungjawab yang lain disebabkan sibuk bekerja. Semoga dengan wujudnya sifat-sifat ini dalam diri kita sebagai seorang pekerja, kita dapat menjadi insan yang berjaya di dunia dan di hari akhirat kelak.

SELAMAT HARI PEKERJA!!

Sumber: Jabatan Mufti Perlis


 

Comments