MENJAGA ALAM SEKITAR ITU ADALAH ASAS KEPADA KEIMANAN SEORANG MUSLIM

 

Masyarakat dunia sudah sedar bahawa alam sekitar kita pada waktu ini sudah mula tidak stabil. Gelombang haba yang melanda dunia merupakan satu bukti menunjukkan bahawa ekosistem alam sekitar sudah tidak stabil. Begitu juga pertukaran musim yang bercanggah pada waktunya juga menunjukkan ketidakstabilan yang berlaku di atas muka bumi. Ini disebabkan ketamakan manusia dalam mempercepatkan proses pembangunan dan penjanaan ekonomi tanpa menghiraukan unsur kehidupan yang lain seperti haiwan, tumbuhan, gunung-ganang dan perkara-perkara yang lain. Sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah ar-Ruum ayat ke 41 yang mafhumnya:

“Telah timbul berbagai kerosakandan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Dalam Islam, penjagaan alam sekitar ialah satu daripada unsur ibadah yang ditaklifkan ke atas seorang Muslim kerana ia merangkumi hukum taklif iaitu wajib, sunat, harus, haram dan makruh. Dalam pandangan agama Islam, penjagaan alam sekitar bukanlah satu undang-undang perletakan manusia bahkan ia merupakan salah satu tanda keagamaan dan salah satu tanda ketaatan kepada Tuhan Maha Pencipta. 

Bukan itu sahaja, bahkan ia adalah salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maka bagi orang Islam, penjagaan alam sekitar itu ialah keagamaan sebelum ia menjadi undang-undang kemanusiaan. Sebagai contoh, dalam perundangan Islam menyebutkan tidak boleh ke atas orang Islam itu membazirkan air walaupun ketika berwuduk di dalam sungai sekali pun.

Kehidupan di dunia ini adalah bersifat sementara sahaja dan apa yang lebih penting ialah kehidupan kita yang kekal di akhirat. Segala apa yang kita lakukan di dunia ini, akan di pertanggungjawab di hadapan Allah SWT. oleh yang demikian, jagalah alam sekitar ini dengan sebaik – baiknya kerana ia merupakan amanah Allah SWT kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. 

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Comments