SUBURKAN KEHARMONIAN YANG TELAH LAMA TENGGELAM SESAMA MASYARAKAT


Jika kita perhatikan keadaan sekeliling pada hari ini, suasana keharmonian masyarakat yang dahulunya aman dan harmoni sudah lenyap bak ditelan bumi. Setiap hari ada sahaja isu yang menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum. Dunia kini ibarat tempat yang menakutkan bagi semua manusia. Tiada lagi kedamaian yang didamba, seperti lagu dari sebuah kumpulan nasyid, Nowseeheart, “Damai yang hilang”. Begitu jugalah hilangnya rasa kasih dan sayang sesama manusia pada hari ini.

Islam menggariskan tatacara hubungan yang jelas bagi menjaga hubungan baik dengan sesama manusia. Kehidupan di dunia akan harmoni sekiranya manusia dapat menjalinkan hubungan yang baik dalam mengurus hidup masing-masing. Sama ada manusia tersebut merupakan saudara seagama Islam atau sebaliknya, semuanya ada batasan dan peraturan tersendiri yang ditetapkan oleh Islam. Allah SWT berfirman:

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang sombong dan membangga-banggakan diri." (QS An – Nisa’: 36).

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan manusia agar berbuat baik sesama masyarakat tidak kira sama ada keluarga, saudara mara, sahabat handai mahupun dalam komuniti setempat. Negara ini mempunyai pelbagai diversiti di mana masyarakatnya hidup berbilang kaum sejak berabad lamanya. Oleh itu, wajarlah bagi kita untuk sentiasa memeliahara keharmonian sejagat.

Ketahuilah, iblis gemar melihat anak cucu Nabi Adam AS sentiasa berantakan dan menunggu perpecahan sehingga menjadikan mereka sebahagian yang mewarisi dan mengamalkan sifat Iblis seperti sombong, hasad dengki serta saling menjatuhkan antara satu sama lain disebabkan dendamnya yang lampau terhadap kemuliaan Nabi Adam AS yang dipilih Allah SWT melalui penciptaanNya. Iblis akan sedaya upaya dengan pelbagai cara menghasut manusia sehingga keamanan dan keharmonian yang dikecapi oleh manusia dimusnahkan dengan pelbagai tipu muslihat sehingga akhirnya sebahagian manusia mudah terjebak dan akhirnya mengikuti bisikan Iblis.

Justeru, tingkatkan iman terus berusaha membina kesatuan kerana Islam agama menyeru kepada kekuatan kesatuan. Bagi membangunkan semangat nilai dan kesatuan di dalam negara Malaysia Madani sudah tentu insan terdidik dengan iman, ilmu dan nilai mampu membezakan mana jalan membawa kepada kemakmuran dan jalan membawa kepada perpecahan sehingga akhirnya malapetaka yang besar menunggu bagi mereka yang termakan panahan iblis.

Sumber: Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


 

Comments