Kini hangat diperkatakan di laman sosial tentang satu trend yang semakin banyak dilakukan iaitu trend “speed dating” atau cari jodoh segera buat para lelaki dan wanita yang ingin mencari pasangan hidup. Acara ini membolehkan peserta untuk berkenalan antara satu sama lain. Setiap wanita akan diberi masa duduk bersama lelaki untuk berbual. Setelah tamat masa, peserta lelaki yang lain pula akan berkenalan dengan peserta wanita tersebut, begitulah seterusnya.
Trend ini berasal daripada Los Angeles, Amerika Syarikat yang dipanggil “New Year’s Calling” ini dimulakan pada tahun 1998. Pada setiap 1 Januari, ramai wanita muda (belum berkahwin) akan mengadakan "rumah terbuka" (pesta atau majlis resepsi) di mana mereka akan menjemput lelaki yang belum berkahwin yang layak, kawan mahupun orang yang tidak dikenali untuk singgah dan mengadakan lawatan ringkas, pertemuan itu tidak lebih daripada 10 hingga 15 minit.
Namun, trend ini sudah pun dimulakan di Malaysia pada tahun 2015 tetapi tidak mendapat perhatian kerana kurangnya peranan media sosial dalam membangkitkan hal ini. Akan tetapi, ia mula menjadi perbualan apabila acara ini diadakan kembali pada 11 Mei 2024 bertempat di Piccadilly Kafe Kuala Lumpur.
Bayangkanlah, wanita pertama berkenalan dengan lelaki pertama, kemudian selepas tamat masa, dia teruskan dengan lelaki seterusnya. Boleh jadi, tiga orang akan suka perempuan yang sama dan boleh jadi perempuan tadi suka pada lelaki yang lain. Proses ini jelas tidak mengikut landasan Islam dalam bertaaruf. Islam sangat meninggikan maruah dan sifat malu antara kedua-dua pasangan. Jika taaruf itu tidak berjaya sekalipun, maka kedua-dua pasangan tetap perlu menjaga rahsia dan aib.
Nauzubillahiminzalik! Ini bukanlah trend yang dianjurkan dalam Islam. Bahkan para mufti dan para asatizah juga melarang umat Islam dari menyertai trend ini apalagi mempromosikan acara yang ke arah kemaksiatan. Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor berkata, Islam sama sekali tidak merestui perbuatan atau penganjuran 'speed dating' ini kerana mendatangkan lebih banyak keburukan dan mudarat berbanding kebaikan dan manfaat. Ini kerana banyak kebarangkalian boleh terjadi seperti apabila setelah perkenalan, seorang pemuda mahu mengadakan hubungan intim dengan seorang gadis kemudian meninggalkannya dengan alasan gadis berkenaan tidak sesuai dijadikan pasangan hidup.
Tambahnya, Pemuda yang sering melakukan janji temu sebegini akan mendapati bahawa tujuan sebenarnya bukan mahu mendirikan rumah tangga secara sah dengan gadis yang digoda, tetapi hanya mahu berhibur dan berseronok semata-mata. Lebih parah ada yang ingin mempengaruhi si gadis kenalannya ke arah perlakuan maksiat dan jika gadis berkenaan hamil, pemuda itu menafikan kehamilan adalah disebabkan oleh perbuatannya. Mungkin ada pula yang 'menangguk di air keruh' dengan mengugut akan mendedah rahsia keterlanjuran yang berlaku kepada orang ramai dengan tujuan menjatuhkan maruah gadis yang menjadi mangsanya.
Ingatlah wahai kaum Muslimin, Islam telah menggariskan panduan untuk bertaaruf cara Islam yang sebenar. Mengapa mesti cara Barat yang diikuti? Apakah kita ini masih Islam atau sekadar Islam di kad pengenalan sahaja? Percayalah, jodoh dan rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Allah SWT mungkin menangguhkan jodoh kita hanya kerana kita mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Perbuatan “speed dating” ini adalah perbuatan yang menjuruskan kita ke arah kemaksiatan yang sia – sia. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (QS Al – Isra: 32).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment