WASPADA INDIVIDU DAKWA SEBAGAI IMAM MAHDI KERANA JELAS KESESATANNYA

 

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku. 

Berasaskan hadis tersebut dan hadis-hadis sahih yang lain, para ulama bersepakat bahawa tidak ada syak lagi Imam Mahdi akan keluar di akhir zaman, menguasai keseluruhan bangsa Arab serta memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Imam Mahdi atau namanya Muhammad bin Abdullah bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib, adalah antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu akan berkuasa selama tempoh tujuh tahun, menghalang kezaliman dan kejahatan.

Antara ciri-ciri yang terdapat pada Imam Mahdi adalah:
i. Bahagian bahu ada tanda sama pada bahu Nabi SAW;
ii. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa a.s dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya;
iii. Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar;
iv. Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun;
v. Seorang anak adam yang dahinya luas, hidungnya mancung, kedua-dua matanya bercelak;
vi. Warna kulitnya seperti orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel;
vii. Akhlaknya menyerupai akhlak Nabi SAW.

Dalam sejarah Islam, terlalu banyak golongan pembohong yang mendakwa mereka adalah Imam Mahdi. Terbaru adalah seorang guru wanita di Jerantut, Pahang, yang mengaku dirinya telah dipilih oleh Allah SWT sebagai Imam Mahdi. Wanita tersebut turut mendakwa bahawa Imam Mahdi bukannya seorang lelaki dan Allah SWT telah mengangkat darjatnya kerana dia seorang yang jujur.   

Berasaskan nas-nas sahih jelas menunjukkan bahawa dakwaan wanita tersebut yang mengakui sebagai Imam Mahdi adalah tertolak dan tidak benar sama sekali kerana ciri-ciri seperti yang dibincangkan di dalam nas-nas adalah amat menyeleweng daripada yang terdapat pada watak, sahsiah, nama, fizikal serta bangsa yang dimiliki wanita tersebut. Justeru itu, umat Islam janganlah terpengaruh dengan dakwaan seperti ini. sebaliknya rujuklah kepada sumber yang sahih lagi benar iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasulullah. 

Sumber: Sinar Harian – 22 MEI 2024 dan Bayan Linnas Siri ke 43- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments