BAGAIMANAKAH AJARAN SESAT BEKAS PEMIMPIN RADIKAL INDONESIA PANJI GUMILANG BOLEH TERWUJUD DI MALAYSIA?
Pada tahun lepas, Malaysia telah digemparkan dengan keterlibatan segelintir rakyat Malaysia dengan sebuah ajaran sesat di Indonesia yang diasaskan oleh Panji Gumilang. Sebuah pondok pengajian Ponpes al-Zaytun yang kononnya sebagai sebuah pusat pendidikan bagi pengajian agama telah dijadikan ‘topeng’ menyebarkan ideologi yang memanipulasikan dan menyesatkan akidah umat Islam. Antara amalan yang menjadi kontroversi pengikut ajaran sesat ini adalah upacara ritual ‘salam yahudi’ dengan nyanyian ‘Havenu Shalom Alachem’ sepertimana yang menjadi adat penganut Kristian.
Bukan itu sahaja, malah Panji Gumilang adalah antara bekas pemimpin utama kumpulan militan di Indonesia yang dikenali sebagai Negara Islam Indonesa (NII). Pada ketika itu, NII dipimpin oleh Abdullah Sungkar yang kemudiannya membentuk Jemaah Islamiyah (JI). Berasaskan informasi ini, adalah sangat menghairankan apabila wujudnya ajaran ini di Malaysia sebagaimana kecoh di media sosial baru-baru ini dan dikatakan mereka bersembunyi disebalik penubuhan syarikat-syarikat dan NGO Malaysia.
AR Maphilindo Mohd Isa adalah individu yang dipercayai sebagai Ketua al-Zaytun Malaysia. Mengapakah tidak ada mana-mana pihak yang menyiasat latar belakang beliau sebelum meluluskan sesuatu pertubuhan atau sebelum menjalinkan kerjasama dengan seseorang individu meskipun pertubuhan itu hanyalah NGO? Adakah ada ‘tangan-tangan’ sembunyi yang meluluskan demi kepentingan dan tujuan tertentu sehingga sanggup menggadaikan akidah umat Islam dan keselamatan negara? Maklumat terkini, hampir 15 NGO yang disenaraikan sebagai tempat yang menyelindungkan penyebaran ideologi sesat Panji Gumilang.
Jumlah tersebut bukanlah sedikit, malah mungkin ada lagi yang masih tidak dapat diketahui sebagai ‘platform’ penyebaran ajaran sesat ini. Justeru itu, berhati-hatilah wahai umat Islam dalam menghadapi cabaran pada masa kini. Kuatkan akidah, jagalah keimanan agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Nampak seperti perkara yang remeh, namun apabila tidak dijaga akidah dan iman, maka mudahlah minda dimanipulasikan pihak-pihak berkepentingan dalam mencapai tujuannya menyesatkan umat Islam.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –JUN 2024 dan Pusat Kajian Ajaran Sesat
Comments
Post a Comment