Sejak Jumaat lepas, kecoh dengan isu seorang wanita yang tidak menghalalkan daging yang dikorbankan walaupun sehelai bulu dalam ibadah korban yang diuruskan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani, Kedah. Menerusi tangkap layar mesej di aplikasi WhatsApp, wanita itu mengkritik urusan pembahagian daging haiwan korban yang didakwanya sebagai tidak telus.
Namun, isu tersebut telah dijelaskan oleh Pengerusi MADAD, Ustaz Mohammad Yaakob Yusra Mohd Yusuf yang menjelaskan situasi sebenar di mana peserta berkenaan menuntut hampir semua bahagian korbannya dan tidak selari dengan akad yang dipersetujui sejak awal. Tambah beliau, peserta tersebut hanya ada empat bahagian daripada tujuh dan mengikut pada akad yang asal beliau telah dimaklumkan bahagian mana yang menjadi kepunyaan peserta serta bahagian bakinya serah pada yang memerlukan.
Walaupun isu ini telah diselesaikan dengan cara baik, namun kepada para peserta yang terlibat dengan ibadah korban, ada beberapa perkara yang kita perlu tahu supaya pelaksanaan ibadah korban perlulah difahami dengan jelas khususnya oleh pihak yang menyertainya. Buat para peserta ibadah korban yang akan datang, ketahuilah bahawa pembahagian daging korban pula terbahagi kepada dua:
1. Pembahagian daging korban wajib atau nazar.
- Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.
2. Pembahagian daging korban sunat
- Menurut pandangan ulama mazhab Shafie:
(i) 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya.
(ii) 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
(iii) 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.
Namun apa yang paling afdhal adalah menurut pandangan ulama mazhab Shafie adalah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan. Amalan ini pernah dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda melakukan korban.
Oleh itu, sebelum melakukan korban wajib untuk kita mempelajari dan memahami tentang pembahagian korban agar tidak terkeliru hingga boleh mencetuskan perbalahan. Ambillah ibrah dari peristiwa yang terjadi ini sebagai pengajaran buat kita agar tidak khilaf dalam melakukan ibadah korban di masa akan datang. Al-Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, mengatakan bahawa:
“Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya.” (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment