Menghormati hak dan amalan terhadap semua agama di negara ini telah pun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Malah, dalam ajaran setiap agama juga telah diterapkan untuk sentiasa bertoleransi antara umat dan golongan bukan Islam. Namun, sejak akhir – akhir ini berlakunya pelbagai pertikaian lebih – lebih lagi berkenaan soal ibadah umat Islam iaitu ibadah korban.
Sejak kebelakangan ini ramai yang mempertikaikan mengapa perlunya ada sembelihan untuk ibadah korban? Bukankah itu satu perbuatan yang kejam? Mengapa haiwan yang dipilih adalah lembu? Untuk kesekian kalinya, perlu difahami bahawa ibadah korban adalah untuk umat Islam dan ianya sunat muakkad bagi yang berkemampuan dalam mendidik umat Islam untuk mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT.
Tidak berlaku sebarang kekejaman dalam penganiayaan binatang kerana proses penyembelihan tidak memakan masa yang lama, cuma putus halqum dan urat mari’ dengan sebab penyembelihan dan mati dengan sekali sembelihan sahaja. Mengapa mesti lembu? Kerana dalam Islam telah menetapkan haiwan yang boleh dikorbankan itu adalah unta, lembu, kambing ataupun kibas serta biri – biri. Mungkin di negara ini, kita lebih memilih lembu daripada kambing kerana harganya lebih murah dan senang untuk diperolehi.
Dalam hal ini, bukan soal apa dan bagaimana pelaksanaan ibadah itu dijalankan, tetapi ia soal menghormati adat dan amalan setiap agama di negara ini. Sebagaimana Islam menghormati agama lain dalam melakukan upacara keagamaan lain begitu juga agama lain perlu menghormati ibadah umat Islam dalam melakukan korban. Hidup di dalam negara yang majmuk dengan pelbagai adat, budaya dan agama itu perlunya ada toleransi di antara satu sama lain.
Dalam mencapai keharmonian bersama secara aman atau peaceful co-existence (Fiqh Taayush al-Silmi), kita perlu menghayati sepotong ayat al – Quran di mana Allah SWT berfirman:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (QS Al – Hujurat: 13).
Secara asasnya, hubungan dan kesatuan sesama manusia adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya hanya pada faham creedal nation (al-ummah al’aqidiyyah). Meskipun berbeza warna kulit, bangsa, politik dan agama, semua manusia itu bersaudara. Fitrah dan jiwa kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang membuatkan kita lebih menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini.
Maka dari itu, hormatilah kita di antara satu sama lain tidak kira sama ada perbezaan ras dan agama serta amalannya. Apa yang penting, silaturahim itu diraikan dan toleransi itu diutamakan demi keamanan bersama.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Comments
Post a Comment