MUATNAIK STATUS BERTUJUAN MEMERLI DAN MEMECAHBELAHKAN UMMAH - BALASAN AZAB BAGI GOLONGAN NAMMAM (BATU API) DI DUNIA DAN AKHIRAT

 


Mutakhir ini, sudah menjadi trend bagi masyarakat untuk memuatnaik status di mana - mana laman sosial dengan tujuan untuk memerli pihak lain. Perbuatan ini secara tidak langsung akan memecahbelahkan banyak pihak kerana tidak diketahui hujung pangkal ceritanya. Nammam (batu api) merupakan perbuatan yang sangat dimurkai dalam agama Islam. Namimah dapat menciptakan konflik, memecah belah hubungan dan merosakkan keharmonian bukan sahaja kepada masyarakat malah kepada negara. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak masuk syurga golongan nammam / batu api.” (HR Muslim). 

Perbuatan nammam ini termasuk dalam kategori dosa besar. Bahkan Allah SWT berfirman:

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.” (QS Al – Ahzab: 58).

Sekiranya ada ketidakpuasan hati terhadap mana – mana pihak, maka bersemuka dan berundinglah secara aman. Cari jalan penyelesaian yang memberi keuntungan kedua – dua belah pihak dan capailah kesepakatan bersama. Bukan dengan cara memuatnaik video ataupun status demi melaga – lagakan kesemua pihak yang terlibat. Kita bukan sahaja tidak aman malah Allah SWT akan murka serta memberikan azab di dunia dan akhirat. Di dunia dibenci masyarakat, di akhirat menjadi ‘santapan’ api neraka. 

Jadilah seorang Muslim yang sentiasa menjaga tutur kata dan berperilaku baik. Allah SWT sangat menyayangi hambaNya yang sentiasa sayang akan saudara seagamanya dan mencuba sedaya upaya untuk mempersatukan ukhuwah seluruh umat Islam.

Sumber: Blog Dr. Najahudin (https://najahudin.net/blog/hadith-18-jangan-jadi-batu-api/)

 


Comments