PENYALAHGUNAAN ISTILAH JIHAD GOLONGAN EKSTREMIS AGAMA PUNCA WUJUDNYA ISLAMOPHOBIA TERHADAP UMAT DAN AGAMA ISLAM

 

Istilah jihad telah menjadi istilah yang menakutkan (logophobia) pada masa kini. Hal ini berikutan penggunaannya dalam konteks yang sempit oleh golongan ekstremisme agama. Malangnya konsep jihad yang murni dan luas telah dicemarkan dengan fahaman dan tindakan melampaui batas sehingga istilah jihad menjadi negatif kepada sebahagian masyarakat dunia. 

Sebab utama fenomena ini timbul adalah disebabkan tindakan rangkaian jihadis yang bergerak secara global oleh beberapa buah kumpulan pelampau agama seperti Islamic State (IS), atau Dawlah Islamiyyah li al-Iraq wa al-Syam (DAESH), Hizbut Tahrir, al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI), Boko Haram dan sebagainya. Kesan daripada salah faham dalam mentafsirkan ajaran agama khususnya berkaitan fiqh jihad yang menjadi salah satu unsur penting ideologi ekstremisme agama telah menjadi penyebab utama tindakan keganasan atau terorisme itu dilakukan sama ada terhadap orang bukan Islam atau sesama Islam sendiri atas nama jihad.

Sedangkan jihad dari segi istilahnya bermaksud suatu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredhai Allah jelas menggambarkan tentang kedudukan jihad yang mulia. Penyalahgunaan istilah jihad oleh golongan ekstremis agama ini yang menganggap penggunaan pedang atau senjata serta pertumpahan darah perlu diutamakan dan termasuk dalam konteks jihad meskipun melanggar adab-adab peperangan adalah sangat menyimpang dari ajaran Islam sebenar. Rujuklah pada para ulama yang muktabar, bukannya mengikut hawa nafsu dan melabelkan tindakan sebagai ‘jihad fi sabilillah’ demi mencapai tujuan dan kepentingan sendiri. Renung-renungkan.

Sumber: Jurnal JWM, Vol.1- Universiti Malaya


Comments