Malaysia adalah sebuah negara yang unik terdiri daripada berbilang bangsa dan keturunan, memiliki pengamalan agama, Bahasa, budaya dan adat resam yang pelbagai. Dalam konteks negara bermasyarakat majmuk ini sememangnya konflik sukar dielakkan. Faktor yang sering menjadi bahan provokasi adalah faktor yang bersangkut paut dengan agama, bangsa dan Institusi Raja.
Misalnya berlaku provokasi di sebuah medium media sosial tempoh hari berkenaan sekumpulan masyarakat berbangsa India telah bertindak melakukan penghinaan terhadap agama Islam. Dalam perbincangan secara ‘live’ tersebut, al-Quran dikatakan sebagai buku yang penuh dengan pornografi, batu Hajarul Aswad adalah batu yang dicuri dari Jordan dan sebagainya. Provokasi terhadap isu sensitif yang semakin berleluasa ini tidak boleh dipandang remeh kerana berisiko untuk mencetuskan kesan negatif seperti permusuhan, kebencian, stereotaip negatif, pergaduhan dan keganasan.
Malaysia telah menjadikan lima prinsip Rukun Negara sebagai asas utama bagi merealisasikan hasrat pembentukan Bangsa Malaysia. Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan beberapa titik kesamaan bahawa rakyat Malaysia memiliki satu agama Persekutuan iaitu agama Islam di samping pengamalan agama yang lain dibenarkan. Bangsa Melayu dan Bumiputera diiktiraf sebagai bangsa asal yang memiliki beberapa keistimewaan daripada bangsa-bangsa lain. Namun begitu, setiap warganegara mempunyai hak dan kebebasan. Hak dan kebebasan yang diberi tidak bermakna ‘bebas’ berkata-kata dan bertindak, sensitiviti masih perlu menjaga terutamanya berkaitan agama, bangsa dan Institusi Raja demi memelihara keharmonian.
Oleh sebab itu wujudnya undang-undang dan peraturan berkaitan bagi menangani konflik-konflik yang berlaku supaya tidak ada pihak-pihak yang mencetuskan provokasi di samping memberi pengajaran pada masyarakat bahawa penghinaan terhadap agama ini bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng, sebaliknya adalah tindakan pelampau agama dan ekstremis dan perlunya hukuman berat terhadap pencetusnya.
Sumber: Journal of Law & Governance dan facebook.com/zamrivinoth
Comments
Post a Comment