BERLAKUNYA BANYAK KES PEMBUNUHAN MERUPAKAN SALAH SATU PETANDA AKHIR ZAMAN




 Sejak kebelakangan ini, berlaku banyaknya kes pembunuhan terhadap nyawa yang tidak bersalah. Isu ini bukan setakat apa yang terjadi kepada saudara – saudara kita di P4l3st!n, tetapi juga di dalam negara kita sendiri apabila ramai nyawa yang menjadi korban akibat daripada dendam, amarah dan rasa cemburu. Seperti yang terjadi baru – baru ini apabila seorang wanita berusia 25 tahun yang hilang sejak beberapa hari lalu ditemukan tewas disyaki dibunuh oleh teman lelakinya.


Tidak di situ sahaja, peristiwa kematian kanak – kanak Istimewa, Zayn Rayyan yang membuatkan hati seluruh rakyat Malaysia menjadi hancur. Kanak – kanak malang itu dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di tepi tali air di belakang rumahnya dalam keadaan yang menyayat hati. Apa yang boleh dikatakan adalah akhir zaman semakin menghampiri kita. Ketahuilah bahawa peristiwa pembunuhan merupakan antara isyarat yang semakin jelas kelihatan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:


Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: ‘al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.” (HR Bukhari).


Sesungguhnya, terdapat hubung kait antara kejahilan dan pembunuhan yang berlaku kebelakangan ini. Sudah pasti kita dapat menilai dan menebak, si pelaku ketika melakukan pembunuhan berada pada tahap keilmuan yang sangat rendah. Walaupun hakikat Islam sedang berkembang pesat, namun pemahaman dan penghayatannya lama-kelamaan semakin menipis dalam kalangan Muslim sehingga mengundang pelbagai tohmahan serta kejahilan dalam diri masyarakat.


Antara faktor yang dilihat menjadi penyumbangnya kejahilan dalam masyarakat adalah:


1) Kualiti sistem pendidikan memainkan peranan utama dalam perkembangan kecerdasan manusia.  


2) Kebergantungan terlampau kepada akses teknologi menyebabkan pencapaian dalam ilmu semakin menurun.


3) Gaya hidup yang tidak sihat kerana faktor sekeliling.


Oleh sebab itu, Islam begitu mengharamkan sebarang bentuk kemudaratan, kezaliman, penganiayaan dan pembunuhan ke atas orang lain tanpa hak. Malah, ia termasuk dalam perbuatan dosa besar dan dikenakan hukuman qisas iaitu bunuh balas jika sah disabitkan pembunuhan dengan sengaja. Apa jua alasannya, membunuh nyawa seseorang tanpa hak tetap diharamkan oleh Allah SWT.


Sumber: Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Comments