Semalam merupakan hari yang amat dinantikan oleh kedua ibu bapa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain apabila keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM selepas didapati bersalah membunuh Allahyarham pada tujuh tahun lalu.
Keputusan dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah tuduhan pembunuhan terhadap keenam-enam bekas penuntut yang masing-masing kini berusia 28 tahun. Dengan keputusan itu, ia sekaligus memberikan gambaran bahawa amalan buli ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh masyarakat negara ini.
Dalam khutbah Haji Wada' yang memuatkan pesanan penting Rasulullah SAW kepada umatnya, Baginda menyentuh perihal nyawa yang amat dititikberatkan dalam Islam. Sabda Baginda SAW bermaksud:
"Saudara-saudara! Bahawasanya darah kamu dan harta kamu sekalian adalah suci buat kamu, seperti hari ini dan bulan ini yang suci sampai datang masanya kamu sekalian menghadap Tuhan. Dan pasti kamu akan menghadap Tuhan; pada waktu itu kamu dipertanggungjawabkan atas segala perbuatanmu. Ya, aku sudah menyampaikan ini." (HR Bukhari).
Peringatan tentang kepentingan memelihara nyawa umat Islam yang mempunyai hubungan persaudaraan antara satu dengan lain atas dasar akidah perlu menjadi agenda penting dalam diri setiap Muslim. Seorang Muslim dengan Muslim yang lain mempunyai hubungan yang sangat akrab meskipun mereka tidak mengenali sesama sendiri.
Lihatlah apa yang terjadi, akibat perbuatan buli, ibu dan ayah kehilangan anak harapan keluarga, seorang isteri kehilangan suami dan seorang anak kehilangan ayah di usia kecil akibat kesalahan yang mengakibatkan trauma yang panjang.
Jika setiap orang mempunyai rasa hormat kepada orang lain dalam diri, tanpa melihat kedudukannya, maka perbuatan buli boleh dielakkan. Setiap orang yang menyedari hakikat sebenar kehidupan di atas dunia ini tidak akan sama sekali tergamak untuk melakukan perbuatan membuli orang lain. Setiap perkara yang berlangsung di atas dunia ini semuanya akan dinilai di sisi Allah SWT nanti.
Sesungguhnya Islam melarang sebarang bentuk buli kerana mendatangkan kezaliman dan penindasan. Tindakan membuli menyebabkan rosaknya maruah diri seseorang, merosakkan hubungan silaturrahim dan kedamaian sesebuah masyarakat. Perbuatan membuli merupakan salah satu dosa kerana ia menceroboh kehormatan diri orang lain bahkan ia boleh mencederakan anggota seseorang. Al – Fatihah buat Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
“SAY NO TO BULLY!!”
#saynobully
#nobullynohate
#peace
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment