IDEOLOGI NEO KHAWARIJ MENGKAFIRKAN ORANG LAIN BOLEH MELAHIRKAN PELAMPAU AGAMA YANG GANAS DAN ESKTREM
Neo Khawarijadalah sebuah gerakan yang berpegang kepada ideologi Salafi Takfiri iaitu mempunyai sikap mudah mengkafirkan orang lain. Sikap ini tumbuh berikutan rasa mereka sahaja yang paling benar. Ideologi ini adalah berasaskan kepada Salafi Jihadi berikutan ianya diperkenalkan oleh mentor ISIS, Abu Muhammad al-Maqdisi, lalu penggabungan Salafi Takrifi dan Salafi Jihadi yang menjadi pegangan kelompok Neo Khawarij bukan sahaja memerangi orang kafir, malah turut memerangi umat Islam yang dilihat bersekutu dengan kerajaan kafir.
Ciri-ciri Khawarij seperti kepatuhan yang tinggi terhadap agama, keberanian yang luar biasa, suka mencela dan bersifat tertutup adalah antara ideologi yang wujud walaupun terdapat beberapa pandangan lain yang mengatakan tidak semua gerakan radikal adalah kumpulan Neo Khawarij. Selain itu, fahaman ini juga memberi hanya dua pilihan kepada pengikutnya, iaitu sama ada bersetuju dengan perjuangan mereka atau sekiranya tidak maka mereka dianggap sebagai kafir.
Misalnya dalam hal politik, kelompok Neo Khawarij menganggap bahawa Malaysia melaksanakan sistem taghut (zalim yang melampaui batas) kerana menerapkan sistem demokrasi dalam pilihanraya sebagaimana acuan Barat iaitu musuh nyata umat Islam. Mereka juga berpandangan bahawa sistem negara sudah diatur di dalam al-Quran dan as-Sunnah, maka pemerintahan yang tidak menerapkan sesuai dengan dua sumber utama itu dianggap sebagai taghut, dihukum sebagai kafir dan boleh diperangi meskipun umat Islam sendiri.
Sejarah membuktikan bahawa sikap mudah menuduh orang lain kafir akan menjadikan seseorang itu nekad untuk melakukan tindakan radikal dan teroris. Sedangkan Islam menjamin hak setiap individu yang melafazkan dua kalimah syahadah untuk memelihara nyawa, akal, keturunan dan harta seseorang termasuk golongan zimmi dalam sebuah negara Islam. Perbezaan pendapat adalah lumrah dan perlu dihormati. Justeru itu, jangan mudah untuk mengkafirkan orang yang berbeza pendapat kerana gejala takfiri merupakan elemen radikal yang melahirkan ekstremis dan teroris. Hal ini perlu dicegah dan ditangani supaya kesucian agama Islam tetap terpelihara dan tidak terpalit dengan fitnah dan mengundang Islamophobia.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Buku Ideologi dan Gerakan Politik Islam di Indonesia
Comments
Post a Comment