ISU DOA LAKNAT TERHADAP PEMIMPIN - HARAM MENDOAKAN KEBURUKAN SESEORANG SELAGI TIDAK DITIMPA KEZALIMAN
Baru – baru ini heboh tentang beredarnya satu pesanan singkat berantai di aplikasi Whatsapp berhubung dengan doa qunut nazilah yang ditujukan kepada pemimpin negara ini. Di dalam pesanan itu juga menyeru agar masyarakat mengadakan solat hajat dan disertakan dengan doa laknat tersebut buat pemimpin di negara ini konon dengan alasan kesusahan dan kesengsaraan yang menimpa rakyat negara pada hari ini berpunca dari tangan beliau sebagai pemimpin.
Tahukah kita bahawa haram bagi seorang umat Islam melaknat umat Islam yang lain tanpa ada bukti kezaliman yang dilakukan? Di dalam ajaran Islam, sekiranya kita mendoakan sesuatu yang buruk dengan tujuan dendam dan untuk kepuasan hati kita untuk menjatuhkannya, maka hukumnya haram. Akan tetapi, kita boleh mendoakannya dengan alasan untuk menghentikan kezaliman yang dilakukan secara terang – terangan dan hukumnya harus. Tetapi di dalam perkara ini, di manakah kezalimannya?
Mendoakan keburukan orang Mukmin lain secara terbuka dan membabitkan orang lain yang tiada kaitan adalah tidak wajar kerana ini semua akan mengundang perpecahan umat Islam. Kita diarah untuk menyatu-padukan umat Islam bukan memecah belahkan termasuk dalam doa.
Malah, bekas Mufti Wilayah yang juga mantan Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al – Bakri juga menegaskan bahawa mendoakan keburukan kepada saudara Muslim lain adalah tidak wajar. Bahkan Allah SWT menegur perbuatan tersebut melalui surah Al – Isra’, ayat 11 yang bermaksud:
“Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.”
Tindakan dibuat pengguna media sosial itu tidak sepatutnya berlaku, malah bertentangan dengan ajaran Islam, dan jika terdapat perbezaan pandangan atau pendapat, ia boleh dizahirkan dengan cara yang beradab melalui cara yang betul. Mengadakan doa supaya pemimpin-pemimpin dilaknat itu bukan ajaran agama kita, Nabi Muhammad SAW mengajar berkasih sayang dan sekiranya (ada) beza pandangan apatah lagi dengan pemimpin yang seagama dengan kita, sepatutnya kita zahirkan biarlah dengan adab dan cara yang berhemah.
Sumber: Aplikasi X, Dr. Zulkifli Mohamad Al - Bakri
Comments
Post a Comment