ISU KEMATIAN BEKAS PELAJAR UNIVERSITI AWAM -MENCELA DAN MENGAIBKAN ORANG YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA ADALAH HARAM DAN BERDOSA

 

Susulan berita kematian bekas pelajar perempuan salah sebuah universiti awam dua minggu lalu, terlalu banyak pihak yang dilihat membuat andaian dan teori sendiri yang tidak masuk dek akal. Apa yang lebih menyedihkan, kematian allahyarhamah seakan menjadi sebuah bahan cacian dan kejian warga maya yang disifatkan sebagai “terpaling tahu” dalam siasatan kes ini. 

Tahukah kita, dengan menjadi seorang yang “busy body” itu secara tidak langsung telah mencampakkan diri kita sendiri ke lembah kebinasaan? Apatah lagi dengan mencela dan mengaibkan orang yang sudah meninggal dunia dengan menimbulkan pelbagai persepsi sehingga menjatuhkan fitnah ke atas si mati? Dari Saidatina Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

"Janganlah kamu mencela orang-orang yang telah meninggal, kerana sesungguhnya mereka telah sampai pada balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan." (HR Bukhari). 

Perbuatan mencela dan mengaibkan almarhumah itu jelas membuktikan bahawa tradisi hormat-menghormati antara satu sama lain hatta dengan orang yang sudah tidak bernyawa seolah-olah tidak wujud lagi. Perkembangan ini jelas satu situasi yang amat mendukacitakan sehingga manusia yang sudah tidak bernyawa boleh diperlekeh dengan sebegitu rupa.

Sebagai seorang manusia yang beragama dan berpendidikan, janganlah sesekali melakukan sesuatu perkara atau tindakan berlandaskan kepada emosi. Fikir terlebih dahulu apakah patut dan wajar jika komen-komen tersebut dikeluarkan di media sosial.  Juga, apakah kita perlu begitu berdendam dengan orang yang kita tidak kenali secara dekat? Haram sekiranya kita mencaci dan melontarkan penghinaan serta fitnah ke atas orang yang sudah tiada. Kita bukan sahaja berdosa, bahkan kita tidak sempat pun untuk meminta maaf kepada si mati. Jika meminta maaf kepada waris pun belum tentu dengan sepenuh hati.

Gunakan kesempatan ini untuk menjadi seorang pengguna media sosial yang beretika. Elak berburuk sangka, mencaci mahupun bersumpah terhadap orang lain hanya semata-mata anda tidak menyukai individu yang dimaksudkan. Lebih penting lagi, mereka harus bermuhasabah diri. Apakah juga satu hari nanti mereka mahu dirinya dicaci dan ditohmah apabila sudah meninggal dunia? Jawapan pastinya tidak, bukan? Renung – renungkan.

Sumber: Facebook Bimbingan Islam


Comments