ISU PENYEBARAN GAMBAR POST – MORTEM : PERLUNYA ADAB DALAM BERSOSIAL MEDIA

 

Hidup realiti manusia dan media sosial itu terlalu banyak bezanya, dan sudah menjadi lumrah manusia akhir zaman untuk menampakkan sesuatu yang luar biasa dengan tujuan menayangkannya bagi tatapan umum. Seperti yang terjadi baru – baru ini apabila beredarnya gambar kononnya bedah siasat (post mortem) kanak – kanak autisme, Zayn Rayyan yang menjadi mangsa pembunuhan hujung tahun lalu. Gambar tersebut mengundang kemarahan rakyat Malaysia yang rata – ratanya menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan kurang ajar dan tidak menjaga sensitiviti keluarga mangsa. 

Dalam hal ini, apa yang boleh dikatakan adalah adab yang semakin berkurang di dalam masyarakat kita tidak kira sama ada di kalangan Muslim ataupun bukan Muslim. Artikel ini percaya bahawa setiap agama dan bukan sahaja agama Islam mengajarkan penganutnya agar sentiasa beradab sesama manusia dan mempunyai sifat empati yang tinggi. Jadi, sudah pastilah kita dituntut untuk menjaga hal yang sensitif  ini daripada menjadi sorotan warga maya yang mempunyai seribu satu persoalan dan andaian selepas melihat sebaran gambar tersebut.

Tidakkah kita peduli dengan perasaan ahli keluarga mangsa yang masih lagi trauma dengan kejadian yang menimpa anak kecil tersebut? Bukankah di dalam al – Quran, Allah SWT telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya..” (QS Al – Hujurat: 6).

Maka selidikilah kebenaran sesuatu berita yang disampaikan itu agar ianya tidak menjadi bahan fitnah masyarakat. Bukan itu sahaja, kita juga dituntut untuk berkata perkara – perkara yang baik agar tidak menyakiti hati ahli keluarga mangsa seperti suruhan Allah SWT dalam surah al – Isra, ayat 53 yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”

Ingatlah, beradab apabila sedang bermedia sosial. Jangan disebabkan jari jemari dan hati kita yang terlalu hitam, maka kita akan mendapat masalah di kemudian hari. Dosa pada Allah SWT boleh diampunkan apabila kita bertaubat, bagaimana pula dosa kita sesama manusia? Renung – renungkan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments