Ramai manusia pada hari ini sudah takut bersedekah kerana dikatakan akan mengurangi harta. Hakikatnya, bersedekah itu tidak bakal mengurangi harta kita malah Allah SWT sangat menyukai orang yang bersedekah apatah lagi mereka yang bersedekah itu niatnya kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
"Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (HR Muslim).
Jangan kita risau atau khuatir tentang rezeki. Sebagai seorang Mukmin, apa yang perlu kita lakukan adalah kita berusaha sedaya upaya, kita berbuat baik dengan apa yang ada, kita berdoa sepenuh jiwa dan kita bertawakal sepasrahnya. Imam Hasa al Basri pernah menyebut, di dalam al – Quran di sebut pada 90 tempat yang Allah SWT telah menjamin dan menentukan rezeki makhluk – makhlukNya. Akan tetapi hanya satu sahaja tempat yang disebutkan iaitu dalam surah al – Baqarah, ayat 268 yang bemaksud:
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” (QS Al – Baqarah: 268).
Ramai di antara kita yang termakan atau terhasut dengan kata – kata syaitan berbanding dengan kata – kata Allah SWT. Siapa yang lagi Maha Berkuasa? Ingatlah, urusan rezeki itu adalah urusan Allah SWT dan kita sebagai Muslim yang percaya dengan al – Quran dan As – Sunnah ini wajib percaya dengan janji Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah.
Sumber: TikTok Dr. Kamilin Jamilin
Comments
Post a Comment