JENAZAH MUALAF DIKREMASI (DIBAKAR) - TUNTUTAN AGAMA MENDAHULUI ADAT DAN BUDAYA

 

Ramai netizen dari dalam dan luar negara kini sedang hangat memperkatakan tentang kematian suami kepada seorang artis wanita negara seberang yang jenazahnya dikremasi (dibakar) seperti penganut agama bukan Islam. Dikhabarkan bahawa suami kepada artis tersebut seorang mualaf yang baru sahaja memeluk agama Islam kerana mengahwini artis wanita terbabit yang beragama Islam. Ada juga sumber yang menyatakan pembakaran dan perlepasan abu jenazah ini adalah permintaan sang suami untuk kali yang terakhir.

Perbuatan kremasi mayat adalah dilarang di dalam Islam dalam apa jua keadaan pun. Jenazah yang telah meninggal dunia harus dikuburkan bahkan ia juga dipraktikkan kepada jenazah bukan Islam, kecuali di laut. Adat kremasi ini terkenal di kalangan penganut agama majusi. Bagaimana kita sebagai umat Islam tegar untuk membakar jenazah yang mengikut agama majusi sedangkan kita sebagai Islam diperintahkan oleh Allah SWT untuk menentang agama tersebut? Daripada Saidatina Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Pematahan tulang jenazah, seperti pematahan tulang ketika ia hidup.” (HR Abu Daud).

Semua umat Islam perlu dan wajib tahu bahawa agama Islam wajib didahulukan di dalam sebarang urusan. Menurut pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad dalam ceramahnya berkata bila mana ada seorang Muslim di mana ibu bapanya tidak tahu bahawa di sudah memeluk agama Islam tetapi jenazahnya dikremasi maka satu kampung akan menanggung dosanya. 

Tambahnya, beliau menasihatkan agar setiap individu yang baru memeluk Islam (mualaf) agar mencatatkan maklumat diri dengan lengkap supaya ia dapat memudahkan proses pengebumian kelak apabila mereka sudah meninggal dunia. Jika sudah lengkap dua kalimah syahadah, berikan maklumat peribadi di pusat mualaf termasuk alamat, info keluarga dan saudara – mara. 

Walaupun ianya tidak berlaku di negara kita, namun kita sebagai umat Islam wajib untuk mengambil tahu akan hal ini terutamanya di sekeliling kita yang adanya mualaf tinggal bersama di kawasan kejiranan atau taman perumahan. Oleh itu, semua pihak terutamanya badan pengurusan kebajikan mualaf hendaklah sentiasa peka dengan keadaan mualaf yang berada di bawah jagaan mereka agar tidak berlakunya perkara seperti ini. Jangan hanya tahu mengajak orang ke jalan yang benar tanpa bertanggungjawab di atas segala hal kebajikannya dan membiarkan mereka terkontang kanting tanpa dibimbing.

Sumber: Tiktok belajardanberbagidakwah 
(https://www.tiktok.com/@belajardanberbagidakwah/video/7393718967057108229?_r=1&_t=8oDXgyiBJG0)


Comments