KEBANJIRAN MAKLUMAT TANPA BATASAN MEMBAWA KEPADA KESESATAN


Ajaran sesat muncul dalam masyarakat Islam hasil dari perancangan rapi yang ditaja oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam dan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam menerusi perbezaan dan percanggahan fahaman. Dalam konteks mutakhir ini, mereka juga semakin lantang mengeluarkan pandangan bahkan menggunakan media sosial sebagai platform untuk meraih sokongan dan perhatian masyarakat.

Ia antara cara licik memperdagangkan agenda yang bertentangan syariat Islam menerusi percubaan demi percubaan memberi interpretasi baharu disifatkan bersesuaian dengan cara hidup dan arus kemodenan semasa. Menggunakan media sosial sebagai perantaraan memudahkan lagi penyebaran dan penerima yang menerima maklumat tanpa batasan sudah tentu membuta tuli mempercayai 'ustaz ustazah online' jika tidak ada pantauan atau sekatan dari pihak-pihak berwajib. 

Ajaran sesat cuba membentuk jiwa pengikut-pengikut supaya kasih dan taksub terhadap ajaran yang dianuti. Para tok guru ajaran sesat juga tidak lupa mempengaruhi mereka supaya bersikap benci terhadap sesiapa sahaja yang cuba menentang kegiatan mereka termasuk guru-guru agama, alim ulama, undang-undang, pihak berkuasa agama dan lain-lain.

Kononnya usaha suci mereka itu ditekan dan dihalang oleh golongan yang tidak mahu kepada kebenaran. Segala hujah yang dibawa oleh guru-guru ajaran sesat untuk menegakkan kepalsuannya itu memang diterima oleh para pengikutnya tanpa berfikir panjang. Dari sinilah lahirnya rasa simpati terhadap diri guru mereka yang dianggap tidak bersalah itu.

Sama ada disedari atau tidak, kewujudan kumpulan ajaran sesat ini telah menggugat perpaduan masyarakat dan menjejaskan keharmonian hidup akibat dari perbezaan pegangan ajaran agama antara mereka dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Contohnya perkara ini boleh menimbulkan krisis rumah tangga apabila salah seorang dari pasangan suami isteri enggan menyertai kumpulan tersebut. Bukan itu sahaja, malah lebih teruk lagi mencetuskan keganasan dan mengancam keselamatan negara seperti yang pernah dicetuskan oleh Kumpulan Daesh, Kumpulan Jemaah Islamiyah.

Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa kewujudan ajaran sesat ini menimbulkan kesan yang sangat buruk bukan sahaja di dalam lingkungan keluarga asas, malah lebih teruk lagi turut mengancam nyawa masyarakat yang tidak terlibat dan menghuru-harakan keharmonian dalam negara. Ingatlah bahawa jika terdapatnya lebih keburukan berbanding kebaikan dalam sesuatu perkara itu, maka lebih baik menolaknya sebelum terpesong akidah. Tapislah maklumat yang diperoleh dari sosial media, rujuklah pada yang lebih muktabar supaya terpelihara iman dan syariat. 

Sumber: Buku "Memerangi Ajaran Sesat" – Majlis Ugama Islam Kelantan


 

Comments