Islam liberal adalah lanjutan daripada gerakan modernisme Islam yang muncul pada awal abad ke-19 di dunia Islam sebagai suatu konsekuensi interaksi dunia Islam dengan tamadun Barat. Modernisme Islam tersebut dipengaruhi oleh cara berfikir Barat yang berasaskan kepada rasionalisme, humanisme, sekularisme dan liberalisme. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, cara berfikir Barat tersebut terdiri daripada lima sifat yang saling kait-mengait:
1. Kebergantungan semata-mata kepada akal manusia bagi memandu kehidupan dunia;
2. Dualisme dalam memahami pelbagai realiti dan kebenaran;
3. Penekanan kepada unsur-unsur perubahan dalam kewujudan yang mempamerkan pandangan sekularisme;
4. Doktrin humanisme iaitu jelmaan ideologi sekularisme yang memusatkan penilaian segala-galanya kepada fikiran manusia;
5. Konsep tragedi yang menyusup dalam setiap arena kehidupan baik falsafah, agama atau kesenian.
Konsep ini mencerminkan jiwa yang tidak beriman kerana kecewa dengan agama. Konsep tragedi ini mengakibatkan mereka asyik berpandu kepada keraguan dan dalam proses ini falsafah telah diiktiraf sebagai alat utama menuntut kebenaran yang tidak tercapai. Oleh sebab itu, menurut Syekh Abdullah al-Khatib dalam kitabnya “al-Islam wa Raddu ala Hurriyatil Fikri” menyatakan bahawa golongan yang berfikiran bebas mempunyai agenda tersembunyi:
1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya daripada masyarakat;
2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia daripada setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib serta segala keterikatan dengan Allah SWT;
3. Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan dan ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu dalam setiap urusan kehidupan.
Justeru itu, jelas menunjukkan tujuan Barat mewujudkan fahaman liberalisme adalah untuk memisahkan umat Islam dengan agama dan tidak beramal dengan syariat. Beramal dengan Islam dimomokkan dengan sudah ketinggalan zaman, tidak mengikut arus kemodenan dan pelbagai perkara negatif. Sedangkan kegemilangan Barat adalah berasaskan cedukan ilmu daripada para ilmuwan Islam terdahulu, namun umat Islam yang tidak mengetahui sejarahnya dengan mudahnya terpedaya dengan tipu helah Barat yang akhirnya menurut telunjuk Barat yang memesongkan akidah. Renung-renungkan.
Sumber: Buku Cabaran Akidah: Pemikiran Islam Liberal – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment