Kenyataan-kenyataan yang membabitkan isu sensitif berkaitan 3R (Religion, Race, Royalty) sering kali dibangkitkan dan timbul terutamanya di media sosial tanpa mengira waktu. Kenyataan-kenyataan ini boleh menganggu-gugat keharmonian kehidupan bermasyarakat di Malaysia dan dianggap sebagai melampaui batas dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Selagi mana perbincangan mengenai agama, bangsa dan Institusi Raja dilakukan secara ilmiah, berhujah dan berdebat dengan sihat serta secara terbuka tanpa adanya apa-apa unsur provokasi, hasutan dan keganasan, ianya adalah dibenarkan oleh undang-undang. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan juga jelas mengiktiraf kebebasan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia. Namun begitu, hak itu perlulah dilaksanakan menurut peruntukan yang ditetapkan oleh undang-undang.
Dalam konteks negara bermasyarakat majmuk, sememangnya konflik berkaitan 3R ini tidak dapat dielakkan. Provokasi berkaitan perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana berisiko untuk mencetuskan kesan negatif dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Meskipun undang-undang sedia ada masih ada kelompongan dan perlu ditambah baik dari masa ke semasa, namun ianya adalah perlu bagi mengelakkan kesan konflik pada masa akan datang seperti permusuhan, kebencian, stereotaip negatif, pergaduhan dan sebagainya yang akhirnya boleh mencetuskan keganasan yang menganggu gugat ketenteraman awam.
Justeru itu, pelihara lidah, pelihara jari jemari, peliharalah minda dari mencetuskan sebarang provokasi sama ada di alam realiti mahupun alam maya demi memelihara kesucian 3R seterusnya membentuk Bangsa Malaysia yang maju, berdaya saing dan berprestasi tinggi hasil dari keunikan masyarakat majmuk yang tidak ada di negara lain.
Sumber: Jurnal of Law & Governance, Vol.5 (1) – Universiti Melaka
Comments
Post a Comment