PROVOKASI TERHADAP KEHIDUPAN BERAGAMA OLEH GOLONGAN ATEIS BOLEH MENCETUSKAN HURU-HARA DALAM NEGARA


Fahaman ateisme dianggap boleh menganggu ketenteraman awam kerana ia adalah satu ancaman dalam bentuk penghinaan dan provokasi kepada agama-agama, khususnya agama-agama di Malaysia seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha samada dalam media sosial, mahupun buku-buku tulisan golongan ateis.

Sebagai contoh laporan portal berita The Diplomat yang ditulis oleh seorang wartawan bernama Justin Higginbottom pada 22 Ogos 2017, bertajuk “Intolerance Rising: Atheists at Risk in Malaysia”, pula ada disebutkan mengenai kisah seorang Atheist Republic Malaysia Melayu Islam yang bernama Ahmad, yang datang daripada satu keluarga Melayu Islam sederhana. Beliau mengaku bahawa beliau adalah seorang ateis serta mendedahkan bahawa terdapat ledakan di dalam bilangan ateis di Malaysia dan menerusi gerakan kumpulan Atheis Republic di Malaysia terdapat agenda untuk menyebarluaskan doktrin ateis ini kepada masyarakat Islam. Bukankah ini satu ancaman?

Kurangnya pendedahan terhadap agama yang sebenar, pergaulan bebas, pemahaman yang salah terhadap tafsir-tafsir ayat al-Quran dan terikut-ikut dengan budaya luar yang dilihat bebas dan tidak mengongkong kehidupan menyebabkan ideologi ateisme ini semakin diterima oleh masyarakat khususnya yang beragama Islam.

Pengaruh golongan ateis jika tidak dibendung akan membuka ruang serta pintu lebih luas kepada penyelewengan agama. Oleh itu, penularan ateisme ini perlu diberi perhatian sewajarnya dan diambil tindakan segera oleh pihak-pihak yang berwajib. Sekiranya tidak diambil cakna, maka keselamatan negara boleh terjejas seterusnya mengakibatkan tercetusnya perbalahan antara agama-agama yang diamalkan di Malaysia.

Sumber: Islamic and Strategic Studies Institute Malaysia


 

Comments