TIGA JENIS ‘KAKI SEMBANG’ YANG DIBENCI RASULULLAH SAW


Berbual, berbicara dan berbincang serta bersembang itu adalah perkara lumrah dalam hidup manusia. Siapa sahaja yang tidak suka berbual bukan? Saling bertukar pendapat dan cerita baharu sudah menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat kita. Namun pernahkah kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW amat membenci golongan kaki sembang? Ada tiga jenis kaki sembang yang dibenci oleh Baginda, antaranya:

1) Golongan "Thartharun", iaitu golongan yang sembang kencang atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah. Mereka ini biasanya suka mencelah percakapan orang lain dan gemar menguasai perbualan tanpa memberi ruang kepada orang lain bercakap. 

2) Golongan "Mutasyaddiqun", iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain.


3) Golongan "Mutafayhiqun", iaitu golongan yang bila bercakap, suka cerita tentang dirinya sahaja untuk tonjolkan dirinya lebih dari orang lain.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari Kiamat ialah orang yang paling lebat sembangnya, orang yang suka memperolok orang lain dan orang yang sombong bicaranya.” (HR At – Tirmidzi).

Ingatlah, jangan kita terlalu menjadi ‘kaki sembang’ hingga menimbulkan ketidaknyamanan kepada orang sekeliling kita. Gunakanlah setiap pancaindera kurniaan Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir, selawat, memuji kebesaran Allah SWT dan apa jua yang menjurus ke arah kebaikan. Jika tidak tahu menahu, bukan arif atau layak membahaskan sesuatu lebih baik mendiamkan diri. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (QS al – Isra: 36).

Sumber: Facebook Dr. Kamilin Jamilin


 

Comments