Dualisme telah menjadi ciri pemikiran Barat yang merujuk kepada perpisahan antara jasad dengan akal, dualisme antara manusia dengan Tuhan, akal dengan wahyu, sains dengan agama yang menjadi asas kepada sekularisme dan seterusnya liberalisme. Oleh sebab itu adanya pertindihan antara liberalisme dengan sekularisme kerana kedua-duanya mempunyai ciri-ciri dualisme.
John Locke, bapa liberalisme adalah orang pertama di Barat yang menggagaskan idea pemerintahan terbatas, hak-hak tabi’i, konstitutionalisme di Barat, seterusnya memisahkan antara agama dan negara sehingga bermulanya sekularisasi dan liberalisasi dalam politik. Sememangnya idea pemerintahan terbatas dan konstituinalisme, Lock menciduknya daripada ilmuwan Islam yang asalnya menyelarikan segala perkara berasaskan hukum syariat dan yang bertentangan dengannya perlu ditolak meskipun hal-hal pentadbiran negara.
Contohnya, idea toleransi beragama, hak memiliki harta, penolakan terhadap ketuhanan raja, idea semua manusia adalah sama dan sebagainya. Namun, idea ini telah dimanipulasikan sebaliknya iaitu jika hukum syariat yang bertentangan dengan kepentingan atau matlamat yang ingin dicapai, maka syariat yang perlu disemak semula atau diselarikan dengan prinsip yang dipegang.
Justeru itu, penting untuk ditegaskan bahawa idea-idea liberalisme yang awal pada dasarnya adalah idea-idea yang baik dan bersesuaian dengan ajaran Islam, maka tiada sebab untuk orang Islam menolaknya. Namun, apabila idea-idea ini kemudiannya berkembang di Barat, di mana pandangan alam (world view) yang sekular dan liberal mewarnai sehingga menjadi idea-idea yang bertentangan dengan Islam, maka wajar lagikah wujudnya Islam liberal sedangkan prinsip keseluruhannya bertentangan dengan agama Islam?
Sumber: Jurnal Afkar ,vol. 20(2)- Universiti Teknologi Malaysia
Comments
Post a Comment