Heboh dalam seminggu dua berkenaan dengan isu perkahwinan ‘childfree’ yang mahu diamalkan oleh masyarakat negara kita. Ada yang membantah tidak kurang juga yang menyokong. Ada yang melarang keras kerana dikatakan mengikut cara orang barat yang rata – ratanya berkahwin atas sebab hawa nafsu tanpa mahu ada komitmen.
Mengikut penerangan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi “BAYAN LINNAS SIRI KE-297: CHILDFREE BY CHOICE MENURUT PERSPEKTIF SYARAK” menyatakan bahawa fenomena ini sebenarnya sudah berkembang sejak pertengahan abad ke 20 lagi, apabila ramai dalam kalangan lelaki dan perempuan di negara Barat yang memilih hidup untuk tidak berketurunan. Hal tersebut bertitik tolak daripada perubahan tren sosial, ekonomi dan budaya yang semakin menjauhkan fitrah asal lelaki yang mana jika menjadi suami, maka dialah sebagai penyumbang utama ekonomi dalam keluarga. Begitu juga fitrah asal wanita yang menjadi isteri dan ibu, maka dialah berperanan melahirkan dan mendidik anak. Tambahan lagi, perubahan ekonomi dan sektor perindustrian yang memerlukan wanita dalam dunia pekerjaan memaksa wanita mengambil keputusan antara karier atau menjadi ibu.
Namun, trend ini tidak lagi hanya sekadar pilihan tidak memiliki anak, akan tetapi merupakan sebuah gaya hidup yang dipengaruhi dan didasari oleh sebuah ideologi yang mengajarkan kebebasan bahawa tubuh sendiri adalah hak sendiri “My body is my right”. Malah, menjadikan ia sebagai gaya hidup yang dianggap sebagai solusi dalam kehidupan tanpa sebarang komitmen dan tanggungjawab.
Perlu diketahui oleh semua umat Islam, pensyariatan pernikahan ini selaras dengan salah satu kecenderungan fitrah semulajadi manusia iaitu memiliki keturunan. Pada masa yang sama, kecintaan terhadap anak-anak juga menjadi ujian dan wasilah mendapatkan bekalan menuju akhirat kelak. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
“Nikahilah wanita penyayang yang subur banyak keturunan karena aku bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat kelak.” (HR Abu Daud).
Walau bagaimanapun, isu childfree tidak boleh sewenang-wenangnya ‘dijatuhkan’ hukum secara mutlak tanpa meneliti terlebih dahulu faktor dan sebab mengapa berlaku sedemikian. Sekiranya perbuatan itu dilakukan atas dasar kesihatan, kemampuan pasangan tersebut atau sebab dibenarkan syarak, maka pasangan suami isteri berkenaan tidaklah dalam keadaan berdosa.
Namun begitu, sekiranya pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak serta menafikan fitrah semula jadi manusia dan menjadikan pilihan childfree ini suatu pilihan yang terbaik hasil daripada pemahaman dan ideologi yang menyama ratakan gender antara lelaki dan wanita, maka perbuatan tersebut adalah haram dan bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang dinyatakan dalam dalam al-Quran dan Sunnah.
Oleh itu, adalah dinasihatkan agar pasangan yang ingin berkahwin atau pasangan yang berhasrat untuk membuat perancangan keluarga bahawa kewujudan anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya. Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment