AJARAN SESAT MILLAH ABRAHAM MIRIP KUMPULAN MILITAN UNDANG BAHAYA PADA KESELAMATAN NEGARA


Ajaran sesat Millah Abraham berasal daripada Bogor, Indonesia yang diketuai oleh Ahmad Musadeq. Beliau sering hadir majlis-majlis ilmu di Malaysia bagi tujuan penyebaran ideologi sesat tersebut sehingga pada tahun 2013 perkembangannya di dalam negara mula tercetus. 

Ajaran Millah Abraham yang dikatakan mempunyai persamaan dengan kumpulan militan Negara Islam Indonesia (NII) ternyata benar apabila kumpulan ajaran sesat ini mempunyai struktur pentadbiran tersendiri termasuklah barisan jemaah menteri dengan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah negara dan kerajaan tersendiri. Hakikatnya, pada bulan OGOS 2024 ini sahaja telah berlakunya penangkapan terhadap seorang pengikut Millah Abraham bertaraf ‘menteri’ di Batu Pahat, diikuti seorang imam dan guru penolong kanan dilaporkan antara 25 individu yang ditahan di beberapa daerah di Johor termasuk Segamat, Muar dan Pontian.    

Antara strategi dan modus operandi yang digunakan Kumpulan Millah Abraham bagi merekrut ahlinya adalah seperti berikut:
1. Indoktrinasi Ahli
i. Indoktrinasi Fasa Perubahan Sistem
Dakwah secara sembunyi yang terancang
Dakwah secara terang-terangan
Fasa hijrah
Fasa Jihad Qital iaitu peperangan
Fasa menubuhkan pemerintahan tersendiri 
Fasa Penubuhan negara dan kerajaan tersendiri

ii. Indoktrinasi Sistem dan Disiplin Ahli
Menggunakan kod rahsia sebagai identiti ahli
Menggubal silibus pengajian berperingkat bagi setiap tahap dalam sistem ahli
Melantik pendamping sebagai wakil rasul 
Mengenakan bayaran untuk bertaubat
Wajib melafazkan bai’ah pada pemimpin
Menggariskan tuntutan cerai bagi pasangan yang tidak menyertai gerakan

2. Propaganda
3. Perkaderan Ahli 

Modus operandi ini yang mirip dengan kumpulan militan yang lain seperti Jemaah Islamiyah menunjukkan pertentangan terhadap kuasa autoriti agama. Kelicikan strategi gerakan Millah Abraham yang berterusan ini mampu mengancam keselamatan negara kerana gerakan ini memberi implikasi kepada sifat taasub yang melampau dan fenomena takfir iaitu mengkafirkan dalam kalangan masyarakat Islam sehingga sanggup berbunuhan sesama sendiri.

Oleh itu, kerjasama dan tindakan bersepadu antara pihak-pihak berwajib perlu diperkukuhkan bagi memantau gerakan Millah Abraham dan kumpulan-kumpulan ajaran sesat lain yang boleh menggugat ketenteraman awam. Masyarakat juga dinasihatkan untuk sama-sama berganding bahu menyekat mana-mana ajaran sesat dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti yang mencurigakan. Disamping itu, janganlah mudah terpengaruh dengan anasir-anasir sebegini yang jelasnya sudah difatwakan sesat dan nyatanya bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang akhirnya membawa kepada kesesatan akidah. 

Sumber: Sinar Harian -18 OGOS 2024, Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor dan Bayan Linnas – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments