ANCAMAN PEMIKIRAN SERANGAN HALUS GOLONGAN ISLAM LIBERAL MENJAUHKAN UMAT ISLAM DARI KEBENARAN AGAMA


Umat Islam sering kali berhadapan dengan isu yang cuba merosakkan kesucian dan kemurnian Islam dengan kemunculan aliran pemikiran yang melampau. Kemunculan fahaman pemikiran baru seperti liberalisme telah mewujudkan ancaman kepada masyarakat Islam. Atas nama kemajuan dan kemodenan, ancaman pemikiran liberal ini terus disemarakkan dengan semangat untuk menjadikan agama agar sentiasa relevan dengan peredaran zaman sehingga ke tahap melanggar batas syariah Islam itu sendiri.

Pelbagai bentuk serangan yang secara tidak langsung dilakukan dengan tersusun bagi meruntuhkan pegangan agama masyarakat Islam yang boleh memberi kesan kepada keruntuhan Islam itu sendiri. Namun, dalam masa yang sama, umat Islam perlu memahami konteks yang lebih luas berkenaan aliran pemikiran-pemikiran baru terutamanya yang berwajahkan Islam. Contohnya seperti fahaman sekularisme, komunisme dan seumpamanya, secara mudah umat Islam boleh menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan fahaman-fahaman ini kerana ianya jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Namun, serangan pemikiran yang berjenamakan Islam sepertimana fahaman Islam liberal ini agak sukar untuk dikenalpasti kerana ianya juga kadang kala berpaut kepada ayat-ayat al-Quran dan Hadis. Tambahan lagi digunakan pula istilah-istilah Islam dan didokong oleh tokoh-tokoh yang berlatar belakangkan agama. Perkara ini sudah pasti menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat yang pada akhirnya ancaman pemikiran liberalisme ini boleh menggelincirkan mereka kepada kesesatan dan kerosakan akidah. 

Oleh yang demikian, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-74 pada tahun 2006 telah memutuskan bahawa pemikiran Islam liberal mengandungi fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah sebagaimana yang ditetapkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Justeru itu, umat Islam perlu berhati-hati kerana serangan pemikiran adalah salah satu bentuk ancaman bukan dalam bentuk senjata malah lebih halus yang telah dirancang rapi oleh musuh-musuh Islam untuk menyimpangkan pegangan dan pemikiran umat Islam dari ajaran agama Islam yang sebenar. 

Sumber: Penerbit UTM Press


 

Comments