BERPISAHLAH DENGAN PENUH AKHLAK DAN ADAB JANGAN CANANG AIB PASANGAN KERANA IA SEBURUK – BURUK KEDUDUKAN DI SISI ALLAH SWT
Di akhir zaman ini, terlalu banyak pasangan yang memilih untuk berpisah hanya kerana hal yang remeh. Sudahlah menggegarkan tiang arasy Allah SWT, mengambil pula jalan untuk membuka aib bekas pasangan masing – masing di media sosial. Seperti isu di mana sepasang suami isteri yang bercerai secara ‘live’ di media sosial ketika salah seorangnya membuat siaran langsung jualan barangan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata perceraian dalam Islam sepatutnya berlaku secara berakhlak, di hadapan hakim Mahkamah Syariah dan bukannya menerusi cara lain termasuk ketika sedang bersiaran langsung di media sosial. Tambah beliau, ini kerana perkahwinan adalah satu amalan yang sangat besar kepada Islam dan mengkehendaki supaya satu-satu perkahwinan itu berlangsung secara tenang, aman dan bahagia. Jika berlaku perselisihan faham atau perbalahan ia perlu diselesaikan secara baik seperti yang dianjurkan Islam.
Membuka aib pasangan dalah larangan yang besar lantaran kesannya yang menggugat keutuhan sesuatu institusi rumah tangga. Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan, mereka berada pada seburuk-buruk kedudukan di sisi Allah SWT. Dalam satu riwayat daripada Abu Sa’id Al-Khudriy, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.” (HR Muslim).
Sesungguhnya, setiap larangan itu pasti ada ancaman besar yang menanti. Disebabkan itulah kita ditegah untuk melakukannya. Andai kita sudah terlanjur menjaja aib pasangan atau bekas pasangan, maka disarankan untuk kita menghentikannya dengan kadar segera. Ini kerana ia bukan sahaja membawa keburukan di dunia, tetapi juga di akhirat kelak. Mengertilah, apabila seseorang membuka aib orang lain, maka Allah SWT akan mengazab dengan membuka aib diri kita sendiri. Bahkan dari satu segi, kita juga tidak boleh membuka aib sendiri. Seandainya dilakukan, maka kita tidak akan memperoleh keampunan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang membuka aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” (HR Ahmad).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment