BESARNYA DOSA MEMBUNUH SEHINGGAKAN ORANG YANG MENYETUJUINYA JUGA TERPALIT DOSA

 

Tidak ada satu pun agama di dunia ini membolehkan seorang manusia membunuh sesama manusia, termasuklah agama Islam yang begitu keras mengutuk perbuatan keji tersebut. Tujuan sebuah agama ini adalah untuk perdamaian dan kasih sayang. Begitu juga dengan agama Islam, sejak awal penurunannya sudah ditegaskan bahawa Islam itu ‘Rahamatan Lil Alamin’.

Perbuatan membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut adalah perbuatan diharamkan Islam. Perkara itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya:

 “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” (QS Al – An’am: 151).

Islam amat menjaga nyawa setiap umatnya. Setiap darah umat Islam haram untuk ditumpahkan lebih-lebih lagi saudara sesama Islam. Dalam Islam, dosa membunuh adalah salah satu daripada dosa besar yang ditetapkan Allah SWT. Jika dosa syirik tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT, dosa membunuh pula tidak akan terampun melainkan dengan taubat. Betapa besarnya dosa membunuh itu hingga orang yang menyetujuinya juga akan menerima dosa yang sama. 

Insan yang tergamak membunuh manusia lain dengan tangannya sendiri menunjukkan betapa dirinya tunduk dengan nafsu dan bisikan syaitan. Golongan itu menganggap mereka berkuasa memusnahkan kehidupan orang lain. Rasulullah SAW:

Sesungguhnya kehancuran dunia ini adalah lebih ringan di sisi Allah daripada pembunuhan seorang Muslim (HR At - Tirmidzi).

Oleh yang demikian, jagalah hati, iman dan kelakuan kita. Jangan sesekali hilang pedoman hingga sanggup menghilangkan nyawa. Begitu juga pihak yang menyetujui tindakan pembunuhan tersebut. Hal ini kerana yang berhak mengambil nyawa itu hanya Allah SWT dan hukuman yang telah ditetapkan undang – undang. Wallahualam.

Sumber: Facebook Cocombee (https://www.facebook.com/CocombeeCom/videos/besarnya-dosa-membunuh/511625208093642/)


Comments