Ketua ajaran sesat amat memainkan peranan dalam mempengaruhi pengikutnya supaya terus menyokong ideologi yang dibawa. Namun, apakah yang ada pada diri penyebar ajaran sesat ini sehingga kata-kata dusta mereka ini disangka benar dalam kalangan pengikutnya?
Jika dianalisis karakter ketua ajaran sesat ini, mereka selalunya mempunyai keterampilan dalam berkata-kata dan memutarbelitkan ayat al-Quran, hadis serta dalil-dalil agama yang lain. Biarpun secara logiknya kita boleh berfikir bahawa setiap kata-kata mereka ini sangat bersalahan dengan dalil serta logik akal, namun pentaksub sesuatu ajaran itu amat memegang kata-kata ketua ajaran sesat tersebut.
Kedua, ketua ajaran sesat ini perlu licik dalam menggunakan kata-kata termasuk gabungan ilmu akhir zaman yang semakin dekat dengan hati masyarakat pada hari ini. Akhirnya, pelengkap kepada ajaran sesat ini adalah golongan pengikut fanatik buta yang gagal meletakkan satu perspektif pemikiran yang rasional mengikut nas serta dalil yang benar.
Ketiga, penyebar ajaran sesat ini semuanya akan meminta perkara sama daripada pengikut seperti sumbangan wang serta harta benda selain keperluan batin kononnya atas nama kebenaran. Hawa nafsu sememangnya menjadi kuda tunggangan hampir semua ajaran sesat manakala melempiaskan nafsu dalam kalangan pengikut kononnya sebagai ritual penyucian dosa dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, rekaan konsep ajaran sesat itu sudah berubah beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan kumpulan songsang ini lebih bermotifkan kepada wang kononnya sumbangan infaq sedangkan untuk kepentingan sendiri. Justeru itu, berhati-hatilah tatkala terjumpa dengan individu-individu yang bercirikan sedemikian kerana sudah pastinya tidak mengikut spesifikasi ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA)
Comments
Post a Comment