LARANGAN MENGIKTIRAF ATAU MENYAMAKAN AGAMA LAIN SELAIN DARIPADA ISLAM


Tular pada minggu lalu, sebuah video yang memperlihatkan rombongan peserta ataupun kakitangan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melawat sebuah kuil hindu dengan tujuan untuk memenuhi keperluan kursus yang dihadiri iaitu Kursus Creating of Interfaith Activist (CIA). Bahkan, apa yang memeranjatkan adalah di dalam video tersebut turut memperlihatkan sebuah temuramah yang dijalankan oleh wartawan kepada salah seorang peserta. Dengan yakinnya peserta itu mengatakan bahawa selepas beliau melakukan ziarah ke rumah ibadat agama hindu, beliau mendapati banyak persamaan antara agama Islam dengan agama Hindu. Nauzubillahiminzalik!

Kursus CIA ini bertujuan melahirkan dan membentuk aktivis ‘antara agama’, iaitu percubaan pluralistik untuk mencari titik persamaan dalam nilai dan matlamat pelbagai agama. Artikel juga difahamkan bahawa ini merupakan tahun keempat penganjuran kursus berkenaan. Seperti yang semua maklum, perbuatan menyamakan agama lain setara atau menyamai agama Islam itu dilarang dan haram serta berdosa besar! Larangan ini adalah atas dasar ‘sadd al-dzara’ie’ iaitu menutup pintu-pintu yang membawa kepada kerosakan dan bertujuan mengekang pengaruh fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti fahaman pluralisme.

Malah, apa sahaja yang berkaitan Islam itu seharusnya tidak boleh disamakan dengan sebarang aktiviti keagamaan agama lain. Jika tidak ia akan menimbulkan kesalahfahaman khususnya kepada golongan yang baru mula untuk mengenali Islam dan juga golongan muda yang masih lagi terumbang ambing dalam mencari ilmu agama yang sebenarnya. 

Di samping itu, perkara ini juga telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada tahun 2006 bahawa umat Islam adalah tidak dibenarkan terlibat dalam program dan acara membaca doa beramai-ramai dengan membabitkan penganut daripada agama lain. Pengiktirafan Allah SWT mengenai kedudukan Islam tidak boleh diragui sama sekali. Apatah lagi umat Islam yang mengaku dirinya beriman dengan ajaran dibawa Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman:

 “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (QS Ali ‘Imran: 85).

Oleh itu, umat Islam wajib untuk meyakini bahawa hanya Islam adalah agama kebenaran dan Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, sedangkan agama-agama lain tidak berada di atas jalan kebenaran. Ini penting bagi memastikan umat Islam di negara ini sedar bahawa prinsip Islam perlu dipelihara pada setiap masa. Setiap pensyariatan dalam Islam mempunyai acuan atau asas tersendiri. Ia tidak boleh disamakan dengan kepercayaan agama lain.

Sumber: Portal Harakah Daily


 

Comments