MEMERANGI ANCAMAN KUMPULAN RADIKAL ADALAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA DEMI KESEJAHTERAAN HIDUP


Malaysia antara negara yang paling kehadapan memerangi keganasan dengan menawarkan pendekatan sederhana tetapi tegas dalam mencegah kumpulan ekstrem dan radikal. Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti keganasan atau terorisme yang boleh memberi ancaman kepada aspek keselamatan negara mahupun global.

Perkara ini boleh dilihat seperti usaha memerangi aktiviti rakyat Malaysia menyertai kumpulan militan Daesh di Syria, membendung sokongan untuk menghidupkan semula kumpulan pengganas LTTE, memantau perkembangan kumpulan Syiah, mencegah penyebaran fahaman berkait penubuhan negara Khalifah seperti yang disarankan oleh Hizbut Tahrir dan sebagainya.

Namun, usaha menangani keganasan termasuk mengawal, mencegah dan memulihkan kelompok ekstrem dan radikal tidak boleh diserahkan kepada pihak kerajaan dan berkuasa semata-mata, sebaliknya semua entiti dalam masyarakat perlu memainkan peranan sewajarnya.

Oleh itu, pendidikan dan fahaman terhadap agama Islam mengikut ajaran Islam yang sebenar dan berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah perkara asas yang perlu diterapkan dalam setiap diri individu agar segala elemen negatif terutamanya berkaitan dengan terorisme dan ekstremisme dapat dihalang dengan sendiri.

Selain pendidikan dan advokasi awam, faktor undang-undang juga penting dalam menangani keganasan. Walaupun akta-akta pencegahan keganasan seperti ISA, SOSMA, POTA dikritik segelintir pihak kerana didakwa bercanggah dengan hak asasi, namun pelaksanaan undang-undang ini masih relevan dalam mencegah keganasan. 

Melihat kepada ancaman keganasan yang semakin kompleks seiring dengan kemajuan teknologi dan kebijaksanaan manusia serta hubungan entiti di peringkat antarabangsa, seharusnya kita perlu bersiap siaga dalam menghadapi segala ancaman. Bak kata pepatah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Sumber: Wacana Intelektual FEM -'Keganasan dan Ancaman Keselamatan Negara', UPM

Comments