PENGIKUT ATEIS MAHU BEBAS DARI KONGKONGAN AGAMA TANPA SEDAR MEREKA SEBENARNYA CELARU HAL KETUHANAN


Sorotan sejarah menunjukkan bahawa ateisme telah menjadi pegangan sebilangan manusia sejak sekian lama. Pada zaman tamadun Greek, beberapa tokoh seperti Diagoras of Melos dan Epicurus telah mengemukakan idea ateisme mengenai tiada kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan atau dewa, mengingkari metafizik, kebangkitan dan risalah.


Di Malaysia, boleh dirumuskan bahawa golongan ateis di negara ini tidaklah begitu memahami falsafah ateisme sebagaimana yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh ateis. Sebahagian mereka sekadar mengikut arus atau trend anak muda Barat yang kononnya kelihatan ‘sempoi’ atau ‘cool’ dengan status tidak beragama atau ateis. 


Apatah lagi sifat anak muda sememangnya suka kepada kebebasan tanpa sebarang kongkongan termasuklah bebas dalam soal agama dengan kepercayaan. Maka, jalan pintas ialah dengan memeluk fahaman ateis tanpa mereka menyedari kepincangan pemikiran itu. Memandangkan jumlah golongan ateis di Malaysia diuar-uarkan semakin bertambah, disamping turut disokong oleh beberapa pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia Barat.


Semua ini membuktikan bahawa gejala ateisme khususnya dalam kalangan remaja Melayu-Islam kini berada pada tahap membimbangkan. Justeru itu, satu kaedah yang sistematik dan menyeluruh perlu difikirkan bersama bagi membendung gejala ateisme dan ideologi moden yang lain daripada terus menular mempengaruhi umat Islam. Perkara sebegini juga tidak seharusnya dibiarkan berlaku di Malaysia yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.


Sumber: Buku Risalah Isu Semasa: Ateisme Satu Penelitian Awal - MAIS

Comments