Sejak minggu lepas kita dikejutkan dengan insiden rusuhan di United Kingdom (UK). Berita ini menjadi tular selepas insiden pembunuhan terhadap tiga orang kanak – kanak perempuan di sebuah acara keramaian di Southport, England. Apa yang menyedihkan, tularnya khabar angin yang mengatakan pelaku kepada insiden tersebut adalah seorang imigran yang beragama Islam.
Hal ini memicu kepada tercetusnya aksi demonstrasi yang ganas di serata England. Ini ditambah lagi dengan penglibatan sekumpulan ‘hooligan’ yang dikenali sebagai ‘Far – Right’. Dikatakan kumpulan ‘Far – Right’ adalah kumpulan yang sangat anti dengan Islam dan juga anti dengan sesuatu yang asing atau dikatakan sebagai xenophobia. Mereka menyasarkan umat Islam, para pekerja imigran dan juga masjid atau surau – surau sekitar sebagai tempat meluapkan kemarahan mereka. Malah, kawasan perkuburan Islam juga tidak ketinggalan menjadi tempat vandalisme mereka. Namun, segalanya sudah terjawab apabila Kerajaan UK mengumumkan bahawa pelaku sebenar adalah Axel Rudakubana, remaja berusia 17 tahun yang berasal daripada Cardiff dan juga merupakan keturunan Rwanda beragama Kristian.
Apa yang boleh kita lihat di sini adalah bagaimana fitnah itu dengan sengaja direka bagi mencetuskan gerakan Islamophobia di negara – negara Barat itu tidak pernah padam. Sudah terjadi beberapa insiden di mana para pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja menyebarkan khabar angin yang mengatakan bahawa pelakunya adalah seorang Muslim dan beragama Islam walaupun ia tidak pernah wujud.
Nampaknya Islam akan terus diperangi oleh gerakan – gerakan anti Islam sehingga ke akhirnya. Jadi sebagai seorang Muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk membela agama kita dengan menyebarkan kebaikan Islam yang selama ini ditutup dengan tuduhan – tuduhan jahat. Jangan biarkan agama Islam terus dipijak kerana umat Islam yang lemah akan kalah dengan godaan nafsu dan seterusnya berani meninggalkan agama Islam.
Ingatlah, penistaan terhadap agama Islam tidak boleh dipandang remeh. Umat Islam sewajibnya memelihara kesucian Islam daripada dinodai oleh sebarang fitnah dan tohmahan yang tidak berasas. Hal ini kerana Islam itu tertegak atas tiga tonggak utama iaitu Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Ketiga-tiga tonggak inilah yang menghiasi sahsiah Mukmin dan Muslim sejati yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment