SALAH TAFSIR FIQH JIHAD MENGAKIBATKAN PENYELEWENGAN TINDAKAN KEGANASAN


Sejarah Islam telah merakamkan hasil jihad para Rasul dan pejuang-pejuang Islam sejak zaman berzaman telah berjaya menyebarkan agama Allah ke seluruh pelosok alam. Namun begitu, terdapat juga dalam sejarah Islam dan pada zaman moden ini, golongan pelampau agama yang melakukan keganasan terhadap orang bukan Islam dan sesama Islam sendiri atas nama jihad. Rentetan itu, rangkaian jihadis berkembang dan bergerak secara global mahupun tempatan.

Antaranya adalah kumpulan militan ISIS, Hizbut Tahrir, al-Qaeda, Jemaah Islamiyah, Boko Haram, al-Maunah dan sebagainya. Fenomena ini dikatakan timbul kesan daripada salah faham dalam mentafsirkan ajaran agama khususnya berkaitan fiqh jihad yang menjadi salah satu unsur penting ideologi ekstremisme agama. Kefahaman terhadap fiqh jihad dan lain-lain isu berkaitannya perlu diberikan perhatian kerana salah faham dan kepercayaan yang ekstrem dalam aspek tersebut menjadi penyebab utama tindakan keganasan dilakukan. 

Penggunaan dalam konteks yang sempit oleh golongan ekstremisme, istilah jihad telah menjadi istilah yang menakutkan pada masa kini. Konsep jihad yang murni dan luas telah dicemarkan dengan fahaman dan tindakan melampaui batas sehingga menyebabkan istilah jihad menjadi negatif kepada sebahagian masyarakat dunia. Sedangkan istilah jihad itu bukan hanya terbatas pada jihad peperangan semata-mata, melawan hawa nafsu, melawan syaitan, melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual juga termasuk dalam jihad yang perlu diperjuangkan.

Kesimpulannya, adalah tidak tepat sekiranya jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata kerana jihad yang sebenar adalah lebih luas. Seharusnya setiap muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad mengikut kemampuan diri masing-masing. Jika ditelusuri sejarah para Rasul, para Sahabat dan tabiin, Islam tersebar dengan dakwah penuh ilmu, beradab dan disulami hikmah, bukannya berbunuhan atas nama jihad dan menghalalkan tindakan keganasan untuk mencapai matlamat. Tindakan seperti inilah yang menyebabkan timbulnya istilah Islamophobia terhadap umat dan agama Islam itu sendiri. Renung-renungkan.

Sumber: Jurnal JWM, Bil. 1 –Universiti Teknologi MARA, Perak

Comments