TERUSKAN BERBUAT BAIK SESAMA MANUSIA WALAUPUN ADA YANG TIDAK SUKA


Di dalam ajaran agama Islam, kita sudah diajar untuk sentiasa melakukan kebaikan sama ada kecil ataupun yang besar. Sejak dari kecil kita telah diberitahu bahawa setiap kebaikan itu akan dibalas dengan ganjaran pahala dan syurga di akhirat kelak. Walaupun begitu, tetap masih ada pihak yang tidak suka kita melakukan kebaikan. Bebuat baik adalah tuntutan agama. Berbuat baik akan memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

 "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga." (QS Al – Isra’: 7).

Dalam konteks ini, kita diperintahkan berbuat baik kepada manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Malah, sebenarnya tuntutan berbuat baik (ihsan) adalah kepada semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ini seperti sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu." (HR At – Tirmidzi). 

Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana sahaja ia berada dan dalam setiap waktu. Hal ini kerana berbuat baik kepada semua orang akan memberikan impak positif dan kesan yang baik. Antara impak positif yang diterima:

1) Kebahagiaan datang bagi yang berbuat baik. Allah SWT berfirman:

“[…] Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS Al – A’raf: 56).

2) Selalu ingat kebaikan yang datang dari Allah SWT. Allah SWT tidak meminta hambaNya membalas seluruh nikmat yang diberikan itu dengan harta benda. Akan tetapi Allah SWT hanya meminta para hambaNya untuk sentiasa ingat dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan.

3) Berbagi kebaikan sesama manusia dan diri sendiri. Saat kita berbuat baik kepada orang lain, bukan hanya mereka yang merasakan manfaatnya tetapi kita juga turut merasakan.


4) Terus bersyukur dan bersikap positif. Selalulah ingat akan janji Allah SWT bahawa segala kebaikan akan dibalas dengan rezeki yang melimpah, In Shaa Allah.

5) Setiap kebaikan yang dilakukan sangatlah bererti. Terkadang kita masih ragu – ragu mahu melakukan kebaikan. Namun, sebenarnya sebuah kebaikan tetaplah kebaikan dan lebih baik dari beribu keburukan. Allah SWT menyatakan hal ini melalui firman-Nya dalam surat Al-Maidah ayat 100 yang bermaksud:


 “Katakanlah (Muhammad), ‘Tidaklah sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya keburukan itu menarik hatimu.’”

Ingatlah, setiap kebaikan walaupun sekecil mana bentuknya tetap akan mendapat balasan yang baik dari Allah SWT. jadi, jangan merasa ragu – ragu untuk melakukan kebaikan meskipun ada pihak – pihak yang kurang senang dengan tindakan kita. Ingat, hanya Allah SWT yang Maha Layak untuk menilai setiap amalan kita dan bukan manusia. Wallahualam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments