AL-ARQAM CUBA DIHIDUPKAN SEMULA MELALUI GLOBAL IKHWAN SDN. BHD.


Pengharaman penubuhan al-Arqam telah difatwakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semenjak 5 OGOS 1994. Walaupun telah diharamkan, namun ternyata pertubuhan ini cuba dihidupkan semula menerusi kegiatan perniagaan dengan perbezaan nama, jenama dan strategi perniagaan. Situasi ini dapat dilihat dalam Syarikat Rufaqa’ Corporation (SRC) dan Syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB). 

Secara umumnya, GISB ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad iaitu pemimpin utama al-Arqam bersama pengikutnya pada tahun 2008. Semenjak penubuhannya, GISB berjaya mengembangkan rangkaian syarikat perniagaannya di seluruh Malaysia termasuk luar negara. GISB adalah syarikat ketiga ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad selepas al-Arqam dan SRC diharamkan. Lantaran itu, GISB sering kali dikaitkan dengan dakwaan mempunyai hubungan dan pengaruh dari al-Arqam dan SRC. Walaunpun begitu, terdapat segelintir masyarakat beranggapan ajaran al-Arqam sudah tiada, malah Ashaari dan pengikutnya menafikan perkembangan sosioekonomi GISB mempunyai kaitan dengan al-Arqam.

Penafian ini bercanggah dengan pelbagai kenyataan dan dakwaan daripada pihak berkuasa sehingga menimbulkan polemik sama ada GISB mempunyai kaitan dengan ajaran al-Arqam ataupun tidak. Contohnya, dakwaan yang mengatakan bahawa GISB merupakan kesinambungan daripada kumpulan al-Arqam sedang bergiat aktif di Putrajaya. Dakwaan ini selari dengan pendedahan bahawa terdapat 14 ajaran sesat yang masih aktif di Selangor, salah satunya adalah ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat dan diharamkan pada tahun 1994. 

Sehubungan dengan itu, penubuhan GISB digambarkan sebagai sebuah entiti syarikat korporat yang mempunyai perkaitan dengan latar belakang ajaran sesat daripada al-Arqam yang pernah diharamkan dahulu. Justeru itu, janganlah terkeliru dengan aktivi ekonomi ala Islamik yang dijalankan, sedangkan mereka bersembunyi disebaliknya bagi mengaburi mata masyarakat terhadap ajaran yang dipegang oleh mereka.

Sumber: Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan - UPSI


 

Comments