AWASI AJARAN ENAM JAHANAM YANG MENYESATKAN DAN MENYEMAI DOKTRIN KEGANASAN


Realitinya ajaran sesat di Malaysia memang tidak akan berakhir kerana ia sentiasa berevolusi seiring perkembangan pemikiran kontemporari, cara hidup manusia dan tabiat kemanusiaan itu sendiri. Oleh sebab itu, adalah tidak mustahil sekiranya golongan cerdik pandai turut terpengaruh dengan ideologi ajaran sesat kerana terdorong dengan mencari jalan pintas ke syurga.

Sebagai contoh, ajaran enam jahanam iaitu ajaran Ayah Pin, ajaran Haji Kahar, ajaran Harun Mat Saat, ajaran Millah Abraham, ajaran Si Hulk dan ajaran Mohd Mohib Khouli. Jika dilihat senarai pengikut-pengikut ajaran enam jahanam ini terdapat ramai individu yang bekerjaya di tahap professional yang merasakan mereka adalah golongan yang betul dan melabelkan individu yang tidak sehaluan dengan mereka adalah bidaah, syirik dan kafir.

Ajaran enam jahanam ini telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng, malah wujud ancaman keselamatan terhadap negara jika ia dibiarkan terus aktif atau dihidupkan kembali. Justeru itu, masyarakat dinasihatkan untuk mendalami ilmu agama menerusi pendakwah yang memegang tauliah mengajar kerana tauliah berkenaan mempunyai fungsi yang khusus iaitu setiap individu yang mengajar agama mempunyai kelayakan yang mencukupi. Pentauliahan ini diberikan kepada guru atau pendakwah yang menguasai ilmu akidah, feqah dan tasawuf dengan baik sehingga mereka mampu untuk membezakan fahaman yang benar. Kebaikan pentauliahan dari jabatan agama ini adalah sebagai salah satu sistem untuk menapis sebarang bentuk penyebaran ajaran sesat, ajaran radikal dan sebagainya.

Justeru itu, kembalilah kepada Allah SWT dengan sentiasa bermuhasabah, menguasai disiplin ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia sebagaimana junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sumber: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA)


 

Comments