BAHAYA STATUS AKIDAH UMAT ISLAM ZAMAN KINI JIKA KEMURTADAN TIDAK DIBENDUNG

 


Para fuqaha’ telah lama membincangkan hak kebebasan agama dan jika diteliti terdapat sebahagian fuqaha’ berpandangan bahawa hak kebebasan beragama yang dimaksudkan adalah hak untuk menganuti sebarang agama iaitu seseorang itu bebas untuk memilih agama dan jika beliau memilih Islam agamanya maka adalah dilarang keras untuk keluar dari agama Islam.

Terdapat juga pandangan yang lain beranggapan bahawa hak kebebasan beragama ini adalah mutlak dan setiap individu diberi kebebasan untuk memilih agamanya. Jika diteliti, sememangnya tidak terdapat undang-undang yang jelas mengenai murtad termasuk hukumannya. Faktor ini menjadi salah satu punca kemunculan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan kebebasan beragama. 

Contohnya, kemunculan Angkatan Murtaddin Malaysia (AMM), sebuah kumpulan yang kononnya memperjuangkan kebebasan beragama dan menjadi ‘orang pertengahan’ kepada individu yang berhasrat untuk murtad. Misinya adalah untuk menyokong komuniti murtad dan memberitahu kepada masyarakat tentang permintaan golongan murtad dan hak untuk meninggalkan Islam.

Selain itu, semenjak kebelakangan ini banyak isu berkaitan penghinaan terhadap agama Islam melibatkan bangsa Melayu Islam di Malaysia. Contohnya melalui ‘standup comedy’, resit-resit pesanan makanan, media sosial dan seumpama dengannya. Hal ini sekaligus memberi gambaran tentang bahayanya status akidah umat Islam di Malaysia saat ini. Justeru itu, badan pendidikan, kerajaan, perundangan dan institusi Islam perlu memainkan peranan penting bagi membendung isu murtad ini dari terus berleluasa.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor


Comments