BEBAS MENGAMALKAN KEPERCAYAAN MASING-MASING DI MALAYSIA TIDAK BERMAKNA BEBAS MENYESATKAN AKIDAH UMAT ISLAM


Walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan, bebas mengamalkan pegangan masing-masing. Kebebasan ini membentuk perpaduan yang kukuh antara kaum dan ini telah dibuktikan dengan keamanan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia selama ini.

Namun, negara kita telah banyak berlaku kes ajaran sesat yang rata-ratanya terdiri dalam golongan mereka yang beragama Islam. Ajaran yang diajarkan pula dikatakan sesat sehingga telah menimbulkan pelbagai spekulasi. Antara contoh lima ajaran sesat yang pernah berlaku di Malaysia adalah:
1. Kerajaan Langit
Pengasas dari Terengganu yang dikenali sebagai Ayah Pin mendakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan langit dan dipercayai oleh pengikutnya untuk menjelma semula sebagai Yesus, Buddha, Shiva dan Nabi Muhammad SAW. Pengikutnya beranggapan Ayah Pin akan kembali sebagai Imam Mahdi dan menganggap beliau raja langit dan objek yang tertinggi pengabdian untuk semua agama;
 
2. Al-Arqam
Pengasasnya Ashaari Muhammad mempercayai bahwa Syeikh Muhammad as-Suhaimi yang telah mati pada tahun 1952 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup dan merupakan Imam Mahdi yang ghaib seketika sebelum kembali memimpin umat Islam. Meskipun telah difatwakan haram, namun al-Arqam cuba dihidupkan kembali melalui nama lain seperti Rufaqa’ dan terkini Global Ikhwan Sdn. Bhd. ;

3. Taslim
Pengasas dari Pulau Pinang yang dikenali sebagai Haji Ahmad Matahari mendakwa dirinya sebagai pengganti Rasulullah SAW setelah Baginda wafat. Ajaran ini juga menyeru pengikutnya tidak perlu solat kerana Allah akan bersama-sama beserta tubuh badan kita iaitu apabila mengucap. Ajaran sesat yang paling lama wujud ini turut menolak lapan buah hadis berkaitan Israk Mikraj Rasulullah SAW iaitu mengenai pensyariatan atau kewajipan menunaikan solat lima waktu. 
 
4. Millah Abraham
Pengasasnya Ahmad Musodiq dikaitkan dengan rangkaian Gerakan Pemuda Kahfi di Bogor, Indonesia. Ajaran ini menafikan kefardhuan solat lima waktu dan solat Jumaat, mewajibkan bai’ah dan berpegang padanya. Mereka taksub dengan dakyah sehingga sanggup membuang keluargayang tidak mengikut ajaran Millah Abraham. Mereka menggabungkan kitab suci tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

5. Tuhan Harun
Pengasasnya Harun mengakui dirinya Tuhan dalam beberapa buah dokumen bercetak yang telah dibukukan. Harun dikatakan mempunyai seramai 312 orang pengikut setia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan setiap pengikutnya sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga keselamatan ketua mereka termasuklah membunuh. 

Justeru itu, sebagai umat Islam janganlah mudah terpedaya dengan ajaran mereka ini. Ideologi tidak mudah diubati, malah bahaya kerana ia memakan diri. Tatkala telah didoktrinkan di dalam kepala, ditambah pula dengan ritual-ritual ajaran sesat tersebut, sudah tentu menjejaskan akidah. Maka, jauhilah perkara-perkara tersebut dan berhati-hatilah dalam mencari ilmu agama.

Sumber: SAYS Seismik


 

Comments