BERHATI – HATILAH DALAM MENCARI ILMU AGAMA JANGAN SAMPAI TERJERAT DOSA KESESATAN!

 

Zaman kini adalah zaman di mana maklumat tersebar dengan sangat cepat, tidak kira maklumat yang benar atau salah. Lebih menyedihkan apabila ilmu agama turut tidak terlepas daripada terpalit dengan kesan teknologi dan budaya penyebaran tanpa batas di media sosial ini. Salahnya bukan pada internet atau kemudahan teknologi, salahnya adalah pada umat Islam yang sangat bermudah-mudah, tidak teliti dan tidak berhati-hati ketika menyebarkan ilmu agama mahupun mengambil ilmu agama.

Hidup manusia ini tidak lain hanyalah ingin menggapai redha Ilahi. Namun, dalam kita mencari redha Ilahi, sudah semestinya kita memerlukan ilmu. Akan tetapi harus diingatkan bahawa apabila kita mencari ilmu, lebih – lebih lagi ilmu agama, kita perlu berhati – hati dengan apa dan siapa yang mengajar ilmu agama itu. Jangan sampai terjadinya kes seperti baru – baru ini apabila satu badan yang dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn. Bhd (GISB) didakwa mengamalkan ajaran yang tidak sepatutnya hingga mewujudkan satu ketaksuban (cult) di kalangan pengikutnya kepada pengasas yang sudah pun meninggal dunia.

Fenomena ajaran sesat ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan memberi impak kepada keseluruhan elemen dan sistem kepercayaan umat Islam yang boleh terdedah kepada unsur-unsur yang berkaitan dengan keyakinan, dakwaan atau perbuatan yang membawa kepada syirik, kufur dan murtad. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.” (QS Al – An’am: 119).

Bagi mengekang penyebaran kepercayaan - kepercayaan sesat ini, umat Islam perlu mendalami dan memahami ilmu akidah, syariat, akhlak dan agama Islam yang sebenarnya. Tujuan kita mencari ilmu ialah untuk mencapai kebaikan, kebenaran dan kebahagiaan. Carilah ilmu dengan guru yang murshid dan berintegriti. Guru yang menunjukkan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. 

Hindarilah diri dari menuntut ilmu agama daripada guru yang tidak mempunyai ilmu dengan disiplin ilmu yang benar. Berhati-hatilah ketika mendengar dan menerima ajaran yang meragukan. Sekiranya ia bertentangan dengan syarak, tetapkanlah pendirian dan sematkanlah akidah dalam sanubari agar ia kekal teguh dan kukuh.

Apabila kita ingin kembali menjadi umat Islam yang diredhai oleh Allah SWT, maka umat Islam pada hari ini perlu kembali kepada asas dan prinsip-prinsip yang dapat menyatupadukan umat Islam seluruhnya sebagaimana yang dipandukan oleh al - Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)


Comments