Taubat ialah kembali kepada Allah SWT dan ketaatan kepadaNya setelah melakukan maksiat atau dosa seperti terjebak dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng. Manakala istitabah merupakan satu anjuran atau proses memberi peluang untuk bertaubat bagi mereka yang melakukan kesalahan dari segi syarak sama ada melalui rundingan atau khidmat nasihat akidah.
Begitulah indahnya Islam yang telah menyusun jalan kehidupan manusia begitu sempurna sehinggakan hambaNya yang tersesat ditunjukkan semula jalan keluar agar kembali ke jalan kebenaran. Namun, mengapa masih ada yang telah bertaubat dari ajaran sesat kembali mengamalkan ajaran menyeleweng tersebut?
i. Masih berada di persekitaran dan tempat yang sama;
ii. Tidak memutuskan hubungan dengan mereka yang mengamalkan ajaran sesat;
iii. Tidak bertekad untuk meninggalkan kehidupan lama yang menyesatkan;
iv. Hanya menganggap ditahan pejabat agama dan diminta bertaubat sebagai ujian;
v. Tujuan utama untuk mengumpul wang ringgit dankepentingan diri dengan jalan mudah;dsb
Demikianlah senario yang berlaku hampir pada semua pengikut ajaran sesat di Malaysia apabila mereka telah melafazkan taubat dan ditahan semula selepas beberapa tahun kembali mengikut ajaran lama, malah masih menjadi rujukan dalam ajaran tersebut. Sebagaimana isu GISB yang hangat diperkatakan kini, dahulunya adalah al-Arqam, nama kumpulan hanya diberikan penjenamaan baru tetapi akidah tetap sesat seperti asal.
Justeru, pendekatan yang berbeza dan perlu kepada kajian yang lebih terperinci untuk menilai semula mereka yang telah menjalani proses istitabah dengan melihat semula adakah pendekatan yang digunakan itu sesuai? Adakah tempoh masa untuk istitabah itu mencukupi? Ianya perlu difikirkan agar dapat membantu mereka untuk menghindari terus dari ajaran sesat yang pernah dianutinya.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment