JADILAH ‘INFLUENCER’ YANG MEMBAWA MANFAAT ELAKKAN KANDUNGAN YANG BOLEH MEMBAWA FITNAH DAN SANGKA BURUK


Tidak dinafikan dunia pada hari ini bergantung dengan kepesatan teknologi dan media sosial sebagai sumber mencari rezeki dan sebagai tempat menghiburkan hati. Ramai di kalangan masyarakat pada hari ini memilih platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook untuk memuatnaik kandungan hiburan. Namun, apa yang sangat mendukacitaka adalah tentang bagaimana cara mereka memuatnaik sesebuah ‘content’ atau kandungan yang kadang kala membawa mengundang fitnah dan salah sangka.

Fitnah di media sosial merupakan wabak yang semakin lama semakin membarah dalam kalangan masyarakat kita tidak mengira bangsa, agama mahupun warna kulit. Ianya disebarkan melalui perkongsian secara peribadi tetapi disulami dengan kebencian dan kemarahan lantas dizahirkan melalui media sosial. Ianya menjadi sangat bahaya kerana perkongsian tersebut tidak berasa dan boleh mencetuskan api kemarahan sehingga menyebabkan pergaduhan secara maya. Hasilnya cacian dan makian dengan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari seorang muslim hingga memberi persepsi buruk oleh masyarakat bukan Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya fitnah di media sosial ialah kurangnya kepekaan di dalam diri manusia kepada isu sensitif yang boleh menyebabkan orang lain menyalah tafsir maksud yang ingin disampaikan. Jadi, sebelum ingin memuatnaik sesuatu kandungan itu maka kita digalakkan untuk berfikir secara mendalam terhadap kesan dan akibat yang akan datang di kemudian hari.

Jadilah ‘influencer’ yang mempunyai rasa tanggungjawab yang dalam kepada diri, keluarga dan masyarakat. Muatnaik lah kandungan yang membawa manfaat yang baik kepada semua pihak. Jikalau boleh dan berkemampuan, tuntutlah ilmu pempengaruh itu dari pempengaruh yang sudah sedia mempunyai nama. Lihat dan belajar bagaimana mereka menghasilkan kandungan yang membawa manfaat kepada masyarakat. Contoh yang pali jelas adalah Khairul Aming. Lihat bagaimana kandungannya mengeratkan lagi hubungan dua negara antara Malaysia dan New Zealand dan sekaligus mewujudkan peluang pasaran perniagaan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR Ibnu Hibban).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments