JANGAN BERTANGGUH DALAM MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT

 


Kehidupan manusia ini sangatlah singkat dan kita tidak akan sesekali tahu bila dan bagaimana ajal kita akan sampai. Oleh itu, amatlah digalakkan untu semua umat Islam mencari keredhaan Allah SWT sebelum terlambat. Mencari keredhaan merupakan salah satu daripada ciri atau sifat yang terpuji. Ini kerana, kita dituntut untuk sentiasa mencari keredhaan Allah SWT dan juga keredhaan orang yang berada di sekeliling dengan kita. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis:

“Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.” (HR At – Tirmidzi).

Makna redha boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Raghib iaitu redha hamba kepada Allah SWT dan redha Allah SWT kepada hamba. Maksud redha hamba kepada Allah SWT adalah seorang hamba itu tidak benci pada qadha’ atau ketentuan yang berlaku ke atas dirinya. Adapun redha Allah SWT kepada hamba iaitu Allah SWT akan memastikannya sentiasa mentaati perintahnya serta meninggalkan segala larangannya.

Ingatlah, Allah SWT sesekali tidak akan mensia-siakan pengabdian diri oleh hambaNya, seperti firmanNya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (HR Ibnu Majah).

Terdapat banyak cara kita dalam meraih keredhaan Allah SWT. Antaranya:

1) Mempebanyakkan ibadah kepada Allah SWT.
2) Memperbanyakkan istighfar.
3) Meninggalkan semua perbuatan – perbuatan dosa.
4) Berbakti kepada ibu bapa.
5) Sentiasa berbuat baik.

Redha termasuk di dalam sifat-sifat mahmudah iaitu sifat yang terpuji. Di samping itu juga, redha merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang yang bertakwa. Akan tetapi, mencari keredhaan Allah SWT adalah yang paling utama berbanding mencari keredhaan manusia.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments