Kemunculan kumpulan atau fahaman ekstremis, radikal atau pelampau ini tidak hanya berlaku dari sudut fizikal sahaja iaitu golongan yang hanya mengenal senjata, pemberontakan atau revolusi sebagai solusi kepada masalah tertentu. Di samping itu juga, sikap ekstremisime atau radikalisme ini turut berlaku dalam bentuk kefahaman, kepercayaan dan pegangan.
Namun, kedua-dua elemen, iaitu kefahaman dan tindakan ini boleh berlaku secara berkadar langsung iaitu, tindakan seseorang itu boleh terjadi akibat daripada kesalahfahaman terhadap sesuatu nas atau dalil menyebabkan tindakannya itu sebenarnya bertentangan dengan kehendak nas. Perkara ini dapat kita lihat apabila lahirnya kelompok tertentu yang bertindak tanpa memahami kehendak nas.
Akibat daripada ketaksuban dan kefahaman yang terlampau sempit terhadap pegangan atau anutan bagi sesetengah mazhab atau kepercayaan menyebabkan mereka ini, menghukum sesiapa sahaja yang bertentangan atau tidak sependapat dengan mereka.
Gejala suka mengkafirkan, membid’ahkan dan menuduh orang lain sesat, juga akibat daripada terlalu taksub berpegang kepada anutan mereka, tanpa menilai atau cuba memahami kehendak dan hujah yang difahami oleh mereka yang berlainan dengan pegangan mereka.
Contohnya, berlaku di zaman Nabi SAW, tiga lelaki bertemu dengan Nabi SAW, seorang dari mereka berkata, aku akan solat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, aku akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, aku tidak akan menikah dengan wanita. Nabi SAW menegur tindakan ketiga-tiga mereka. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Aku solat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.
Berdasarkan kepada hadis ini, maka kita memahami bahawa kesungguhan tanpa kefahaman yang betul juga, tidak mampu untuk membawa kita kepada jalan yang betul.
Sumber: Bayyan Linnas- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment