Sejak akhir – akhir ini, kerap kali kita dihidangkan dengan berita tentang kehilangan yang berhujung dengan kematian. Tidak kiralah sama ada ia membabitkan jenayah atau tidak, yang pasti banyak kematian sudah berlaku dan ia semakin membuatkan kita bimbang dan gerun. Sebahagian tragedi kadang kala berlaku dengan motif yang tidak begitu jelas, sebahagian pula dihasut oleh perasaan amarah yang tidak terkawal. Sifat amarah yang menguasai diri yang mungkin hanya diakibatkan oleh pertengkaran kecil atau tidak berpuas hati sering kali mendorong kepada perbuatan dan tindakan di luar kawalan mengatasi kewarasan insan. Allah SWT berfirman:
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS Yusuf: 53).
Sifat perikemanusiaan dan menjunjung tinggi kemuliaan insan perlu sentiasa disemat dalam sanubari insan sewaktu melakukan muamalah seharian. Sebaliknya kezaliman dan kekejaman mesti dijauhkan kerana natijahnya mencetuskan suasana huru-hara dan kebinasaan. Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
Memelihara nyawa merupakan prinsip kedua Maqasid Syariah yang sangat penting bagi memastikan kelangsungan kehidupan makhluk ciptaan Allah SWT. Islam meletakkan harga yang amat tinggi ke atas nyawa setiap makhluk. Nyawa seseorang manusia tidak boleh diambil atau ditamatkan sewenang-wenangnya tanpa hak. Semua makhluk berhak untuk hidup dengan tenang. Menjadi tanggungjawab ulil amri untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh memudharatkan nyawa rakyat. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara dan hidup rakyat akan menghadapi kemusnahan.
Justeru, kita dituntut untuk berhukum pada perkara yang zahir atau jelas sahaja kerana perkara yang tersirat dan tersurat di dalam hati manusia lain adalah di luar pengetahuan kita. Sebaliknya ambillah iktibar pada setiap kejadian yang berlaku. Mengambil kata – kata nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya dengan berkata:
"Wahai anakku! Janganlah kamu menunda-nunda taubat, sesungguhnya kematian akan datang secara tiba-tiba."
Sumber: Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment