PENSIJILAN HALAL BUKANLAH SATU BEBAN JANGAN TIMBULKAN POLEMIK PERPECAHAN


Berikutan isu pensijilan halal di restoran – restoran ternama di negara ini. Pensijilan halal itu amat diperlukan kerana majoriti penduduk di negara ini adalah beragama Islam. Namun, ada sesetengah pihak yang cuba mencetuskan polemik isu ini dengan mengatakan ia bakal memberi kesan dan memalukan Malaysia. Satu soalan yang ingin diutarakan, memalukan negara dari segi apa?

Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal bukan bertujuan merumitkan, malah memberi nilai tambah kepada perniagaan. Perkara ini disuarakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang mengatakan cadangan itu memberi kelebihan dengan mengambil kira pelbagai aspek dan tidak membebankan peniaga. Bahkan, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pasaran produk dan perkhidmatan halal dijangka bernilai USD5 trilion pada 2030.

Hal ini ditambah lagi dengan Malaysia tampil sebagai peneraju dalam industri halal global dan kerjasama rapat antara MATRADE dan Halal Development Corporation (HDC) memastikan produk halal Malaysia dikenali dan diterima di peringkat antarabangsa seterusnya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam industri halal global. Jadi, menerusi pensijilan halal, peniaga Malaysia diberikan akses kepada pasaran global yang luas, merangkumi lebih daripada 1.9 bilion pengguna Muslim di seluruh atau mewakili 24% jumlah penduduk dunia.

Isu pensijilan halal ini secara dasarnya tidak membebankan rakyat Malaysia sama sekali. Jadi jika ada alasan bersuara hanya mewakili sebahagian suara hati rakyat Malaysia, itu cumalah polemik perpecahan dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang terlalu mementingkan diri.

Memilih yang halal itu bukanlah hanya terletak kepada penggunaan binatang dan minuman yang haram, tetapi juga dari sumber dan kebersihan yang dijamin kualitinya serta tidak mendatangkan mudarat kepada para pengguna. Itulah maksud sebenar pensijilan halal yang dikeluarkan oleh JAKIM. Oleh itu, pilihlah yang terbaik dan halalan toyyiban. Allah SWT berfirman:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (QS Al – Baqarah: 168).

Sumber: Instagram Berita Al Hijrah
(https://www.instagram.com/reel/C_nG5mmAGEb/?igsh=MWpsYTJmNTE3MTVpcw%3D%3D)


 

Comments