Sedekah itu satu kemuliaan kepada umat Islam. Dalam rezeki yang kita terima hasil usaha kita dan juga berkat daripada Allah SWT, terdapat juga rezeki yang dimiliki oleh orang lain. Mutakhir ini ramai yang takut untuk bersedekah kerana dikhuatiri rezeki mereka akan berkurang dan duit pula tidak cukup. Bukankah Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya…” (HR Muslim).
Amalan sedekah ini dikurniakan dengan pelbagai balasan sama ada di akhirat mahupun di dunia atau semasa hidup lagi dengan pelbagai keajaiban. Firman Allah SWT bermaksud:
"Mereka yang mendermakan hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada kebimbangan terhadap mereka (kejadian buruk) serta mereka juga tidak akan berdukacita." (QS Al – Baqarah: 274).
Dalam amalan bersedekah, kita perlu ikhlas, bukan disebabkan balasan ataupun nama. Sedekah juga perlu dilakukan tanpa dihebahkan. Ibarat tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui. Oleh itu, jangan takut untuk bersedekah kerana bersedekah itu dapat menyucikan jiwa kita yang kotor. Antara kelebihan orang yang bersedekah adalah:
1) Allah SWT memuliakan orang yang bersedekah.
2) Sedekah dapat menghapuskan dosa. Sabda Rasulullah SAW:
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR Al-Tirmizi).
3) Allah SWT melipatgandakan pahala orang yang bersedekah.
4) Harta tidak akan berkurang.
5) Mendapat naungan di akhirat.
6) Terdapat pintu syurga yang disediakan hanya untuk orang yang bersedekah sahaja.
7) Dapat menjauhkan diri dari api neraka.
Semoga sedekah yang diberi mampu memenuhi keperluan penerima dan meringankan kesukaran yang dihadapinya, apatah lagi dalam keadaan situasi kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang. Berkongsilah rezeki kepada orang lain demi manfaat ummah tanpa mengharapkan sebarang balasan mahupun ucapan terima kasih daripadanya, agar rezeki bertambah berkat di samping ganjaran pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan
Comments
Post a Comment